mutakhir

Jumlah anggota bomba ditambah, bukan dikurangkan [METROTV]

Oleh Shamsul Munir Safini

JUMLAH anggota bomba di negara ini tidak akan dikecilkan kerana ia adalah penting untuk keselamatan dan kepentingan umum.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya tidak melihat bahawa keanggotaan pasukan bomba dan penyelamat di negara ini akan dikecilkan, malah pihaknya sedang mengisi 2,000 kekosongan yang ada.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bahawa saiz perkhidmatan awam di negara ini terlalu besar dan perlu dikurangkan selaras dengan kedudukan negara ketika ini.

Zuraida berkata, apa yang dinyatakan Dr Mahathir mungkin tidak membabitkan pasukan bomba, sebaliknya merujuk kepada sektor awam lain.

“Sehingga hari ini, jumlah anggota bomba aktif ialah 14,000 dan kami sedang berusaha mengisi 2,000 kekosongan yang ada.

“Kami masih belum cukup anggota, malah balai bomba sedang ditambah,” katanya ketika merasmikan Kempen Keselamatan Kebakaran dan Pelancaran Program SURI Peringkat Pulau Pinang di Pangsapuri Ampang Jajar, Butterworth, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Zuraida berkata, pihaknya bercadang untuk menempah 9,000 uniform kalis api baharu bagi kegunaan anggota bomba di Pulau Pinang.

Beliau berkata, pihaknya sudah menerima sebut harga daripada beberapa syarikat dan ia akan dipilih pada April ini.

“Sebelum ini, kami akan menambah 6,000 uniform itu setiap tahun dan selepas berlaku masalah beberapa tahun kebelakangan ini, kami menambah 9,000 bagi 2019.

“Sebanyak 6,000 akan diedarkan kepada anggota yang perlu menggantikan uniform mereka manakala 3,000 lagi akan disimpan bagi tujuan persediaan sekiranya ada negeri memerlukannya,” katanya.

Sementara itu, Zuraida berkata, program SURI adalah satu medium bagi bomba mendekati wanita terutama suri rumah dalam usaha menyampaikan maklumat berhubung aspek keselamatan kebakaran di kediaman mereka.

Katanya, ia susulan daripada statistik kematian akibat kebakaran yang banyak berlaku di kawasan kediaman.

“Program ini bagi meningkatkan budaya keselamatan kebakaran dan amalan pencegahan dalam kalangan suri rumah.

“Selain itu, ia bagi memberi pendedahan dan pengetahuan kepada mereka mengenai teknik dan cara pelepasan diri jika berlaku kebakaran di kediaman masing-masing.

“Malah ia diharap dapat memupuk semangat keprihatinan dalam masyarakat setempat meliputi aspek keselamatan kebakaran, nyawa dan harta benda,” katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2019 @ 8:01pm
d