mutakhir

'Abseiling' di Gunung Senyum

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang adakan latihan dengan kemahiran teknikal tinggi bagi memastikan kesiapsiagaan pegawai dan anggotanya di tahap terbaik terutama dalam operasi penyelamatan di tempat tinggi.

Malah, latihan dilaksana secara konsisten bagi memastikan pegawai dan anggota sentiasa bersedia termasuk terbaharu di Taman Eko Rimba Gunung Senyum, Temerloh.

Penolong Kanan Penguasa Bomba Zon, JBPM Pahang, Mohd Arshad Abdullah berkata, pihaknya mengadakan latihan penyelamatan tali membabitkan kakitangan Zon 2 dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab.

Katanya, latihan menggunakan tali atau dipanggil ‘Abseiling’ dari aras ketinggian lebih 20 meter untuk menguji kesiapsiagaan mereka selain peralatan dalam simpanan pihaknya.

“Seramai 25 pegawai dan anggota dari Balai Bomba Zon 2 dan BBP Mentakab menyertai latihan ini dan kita mahu mereka sentiasa bersedia apabila ada operasi.

“Latihan Abseiling dikendalikan tiga jurulatih pakar tali yang mana beberapa teknik diterapkan supaya mereka tidak kekok,” katanya, hari ini.

Mohd Arshad berkata, kebiasaan latihan itu dilakukan di BBP yang mempunyai menara latihan, namun ada kalanya ia berlangsung di luar untuk tahan cabaran seperti di pergunungan dan gua.

Katanya, selain menguji kemahiran dipelajari mereka, anggota juga emosi anggota juga teruji terutama apabila berdepan detik cemas.

“Dalam situasi sebenar mangsa akan cemas dan panik, jadi kita perlu terlatih bagi menangani situasi sebegitu. Jika anggota pun cemas, situasi akan lebih buruk,” katanya yang mahu latihan itu berterusan.

Disiarkan pada: February 23, 2019 @ 9:19pm
d