mutakhir

Dua maut, dua kenderaan bertembung

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

DUA lelaki maut selepas Perodua Myvi dinaiki mereka bertembung dengan Toyota Hilux di Kilometer 16.5, Jalan Teluk Intan-Hutan Melintang di Hutan Melintang, hari ini.

Dalam kejadian 4 pagi itu, mangsa iaitu pemandu Myvi, A Maheshwara Rao, 26, dan penumpang hadapan, M Shasissegar, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, siasatan awal polis mendapati Perodua Myvi berkenaan dari arah Teluk Intan menghala ke Hutan Melintang manakala Totota Hilux dari arah Sabak Bernam ke Teluk Intan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, Perodua Myvi dipercayai gagal mengawal kenderaan untuk masuk ke simpang sebelah kanan menghala ke Hutan Melintang menyebabkan Toyota Hilux tidak sempat mengelak dan melanggarnya.

“Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang Perodua Myvi berkenaan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat,” katanya.

Mohd Marzukhi berkata, pemandu serta penumpang Toyota Hilux pula tidak mengalami kecederaan dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.09 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Polis Hutan Melintang bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba pihaknya mendapati dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing.

“Terdapat dua orang mangsa iaitu pemandu dan penumpang hadapan Perodua Myvi tersepit di tempat duduk masing-masing sebelum kerja mengeluarkan mangsa dijalankan.

“Kedua-dua mangsa dikeluarkan sebelum pasukan perubatan mengesahkan mereka meninggal dunia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan jam 6.17 pagi,” katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2019 @ 11:03am
d