mutakhir

Hari tanpa kenderaan di Kuantan bulan depan

Oleh Mohd Rafi Mamat

MAJLIS Perbandaran Kuantan (MPK) akan mengadakan hari tanpa kenderaan membabitkan tiga jalan utama di daerah Kuantan bermula 16 Mac depan.

Setiausahanya, Datuk Hamiza Hamzah berkata, usaha berkenaan adalah inisiatif pihaknya ke arah mempromosikan gaya hidup sihat dan mengurangkan penggunaan kenderaan di atas jalan raya yang menyebabkan pelepasan gas karbon monoksida hingga mencemar alam sekitar.

“Tahun ini kita bersetuju untuk mengadakan hari tanpa kenderaan pada minggu kedua setiap bulan dengan kerjasama agensi kerajaan lain, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) di daerah ini.

“Kita akan menutup laluan untuk tempoh tiga jam bermula 7.30 hingga 10.30 pagi. Jalan-jalan yang akan ditutup sepanjang program itu ialah Jalan Tanah Putih, Jalan Mahkota dan Jalan Besarbermula di Dataran Kuantan berhampiran Ibu Pejabat MPK,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian PolyKK4Kuantan 2019 di perkarangan Politeknik METRO Kuantan, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti,Mohamad Amin Hamat.

Hamiza berkata, PolyKK4Kuantan adalah program melukis mural anjuran Politeknik METrO Kuantan dengan kerjasama Politeknik Muadzam Shah dan sokongan daripada MPK yang memfokuskan kepada industri hospitaliti dan pelancongan.

“Ia julung kali diadakan oleh MPK dan IPT dengan harapan ia dapat menceriakan persekitaran sekali gus menjadi tarikan terbaru di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya dalam perancangan untuk menambah lagi kawasan mural yang akan memfokuskan di kawasan zon budaya iaitu kawasan Jalan Mahkota dan Jalan Besar bertemakan tokoh dan pembesar Pahang.

Menurutnya, selain mampu menjadi tarikan pelancong, mural ini juga dapat memberi penerangan secara lukisan kepada pelancong yang datang supaya mereka dapat mengetahui keistimewaan Kuantan dan juga Pahang secara amnya.

Disiarkan pada: February 24, 2019 @ 12:22pm
d