mutakhir

Ambil suntikan vaksin elak difteria - KKM

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai terutamanya ibu bapa supaya tidak mengambil mudah suntikan imunasasi terhadap anak mereka dan tidak terpengaruh dengan gerakan antivaksin.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, pengambilan suntikan imunasasi yang ditetapkan oleh KKM perlu dilakukan bagi membolehkan beberapa penyakit dielakkan melalui vaksin yang diberikan.

Katanya, KKM sedang mengkaji kes kematian kanak-kanak berusia dua tahun di Johor Bahru yang didakwa tidak mengambil suntikan imunisasi difteria dan setakat ini masih belum menerima laporan ujian yang dijalankan.

"Difteria penyakit boleh dielakkan melalui suntikan vaksin. Malangnya, masih ada segelintir ibu bapa terpengaruh dengan gerakan antivaksin ini kerana mereka tidak faham bahawa vaksin yang digunakan di Malaysia ini adalah selamat.

"Vaksin yang digunakan juga terbukti keberkensanan melalui ujian-ujian saintifik, walaupun kita tahu sebahagian kecil ada kesannya namun ia tidak serius dan mereka (ibu bapa) perlu tahu vaksin penting untuk cegah penyakit seperti difteria, campak, beguk teruk dan rubella," katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Belon Gergasi dan Buku Risalah Jom Hapuskan Aedes di Klinik Kesihatan Greentown, Ipoh, hari ini.

Dr Boon Chye berkata, statistik KKM turut menunjukkan suntikan imunisasi untuk bayi sembilan bulan menunjukkan penurunan iaitu peratusan yang mengambil imunasisi itu adalah sebanyak 89 peratus dan berada pada tahap tidak selamat.

"Untuk vaksin semasa lahir dan sebagainya tidak ada masalah besar, mereka yang menerima masa lahir sebulan, dua bulan, tiga bulan tetapi untuk sembilan bulan menurun iaitu sebanyak 89 peratus, ia bukan tahap selamat sekiranya ingin mencegah penyakit ianya perlu pada tahap 95 peratus,' katanya.

Sementara itu, berhubung wabak denggi pula, Dr Boon Chye berkata, statistik menunjukkan berlakunya peningkatan terhadap kes denggi dan ia dipercayai disebabkan faktor cuaca serta perubahan virus denggi.

"Peningkatan ini berlaku sebahagiannya (disebabkan) apabila cuaca berubah tetapi juga adalah sebab jenis virus denggi berubah daripada jenis denggi satu (Den 1) kepada jenis denggi dua (Den 2) , jadi apabila ada virus denggi yang baru kebanyakkan populasi masih tidak ada imuniti terhadap virus baru ini.

"Biasanya apabila ada perubahan (Den 1 ke 2) kes-kes akan meningkat, jadi kita perlu meningkatkan usaha kita untuk mengawal wabak denggi daripada menjadi masalah besar," katanya.

Menurut Dr Boon Chye, terdapat empat tahap virus denggi iaitu Den 1 sehingga 4 dan KKM mendapati berlaku perubahan virus daripada satu kepada dua yang boleh menyebabkan berlakunya peningkatan kes denggi.

Disiarkan pada: February 24, 2019 @ 1:07pm
d