mutakhir

Lima lagi kanak-kanak positif difteria [METROTV]

Oleh Mohd Sabran Md Sani

LIMA lagi kanak-kanak di Johor positif difteria termasuk kakak kepada kanak-kanak lelaki dua tahun yang meninggal dunia akibat penyakit itu, pada Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berkata, lima kanak-kanak berusia bawah empat tahun itu antara 52 individu yang pernah berhubungan atau bertemu mangsa dan mereka dikesan hasil saringan dilakukan Jabatan Kesihatan Johor.

“Lima kanak-kanak ini termasuk kanak mangsa berusia empat tahun diperiksa kerana mempunyai hubungan secara langsung dan berada di sekeliling si mati.

“Mereka semua dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) semalam untuk pengasingan wad selepas mempunyai simptom penyakit berkenaan,” katanya pada sidang media di HSA, hari ini.

Dr Sahruddin berkata, pemberian antibiotik selama 14 hari diberikan kepada semua kanak-kanak itu dan ia akan dianggap berjaya serta populasi normal sekiranya keputusan negatif.

Katanya, jika pemberian ubat itu berkesan, tiga pesakit iaitu dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki akan dibenarkan keluar wad dan pulang ke rumah.

“Ini kerana semua kanak-kanak itu sudah mendapatkan rawatan sejak 19 Februari lalu, (dan) selepas lebih 48 jam dirawat, penyakit itu tidak aktif kepada populasi,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kakak si mati dan seorang lagi kanak-kanak lelaki masih dikuarantin.

Beliau berkata, hanya kakak si mati tidak divaksinkan, manakala empat yang lain masing-masing terima vaksin.

Dalam pada itu, katanya, semua kanak-kanak berkenaan positif jangkitan difteria kerana mempunyai hubungan berdekatan kediaman, selain berada di taska.

“Kita semua kena faham, penyakit ini tersebar melalui air liur dan peluh yang mempunyai hubungan secara langsung dengan pesakit.

“Justeru kami melaksanakan saringan termasuk sesiapa yang pernah melawat lokasi tempat mereka tinggal termasuk klinik swasta, kakitangan hospital dan di taska,” katanya.

Katanya, keadaan kanak-kanak berkenaan stabil, selain memastikan mereka tidak menjangkiti orang lain.

“Apabila kes dilaporkan, kita akan mencari kes-kes positif, jika ada simptom kita lakukan ujian dan rawatan, selain memberikan pendidikan kepada komuniti,” katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2019 @ 6:46pm
d