mutakhir

Paras kesihatan ekonomi negara meningkat

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KAJIAN selidik dijalankan Nielsen mendapati kesihatan ekonomi negara berada pada paras yang baik di mana keyakinan pengguna di negara ini berada pada paras 118 mata pada suku keempat 2018, iaitu 24 mata lebih tinggi daripada suku yang sama tahun sebelumnya.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, peningkatan ketara ini adalah yang tertinggi antara semua negara yang diselidik dan ia menjadi pengguna Malaysia sebagai yang ketujuh paling yakin dalam kalangan 64 ekonomi

dunia.

Beliau berkata, pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan bagi sektor pembuatan untuk sembilan bulan pertama 2018 meningkat kepada RM48.8 bilion, atau 249 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun 2017.

“Pelaburan ini akan mewujudkan 41,000 pekerjaan pembuatan berkualiti yang baharu dalam masa dua hingga tiga tahun yang akan datang dan ia akan menyumbang kepada kenaikan gaji pekerja.

“Walaupun Indeks Harga Pengguna (CPI) menurun sebanyak 0.7 peratus, kerajaan sedar bahawa banyak lagi perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat Malaysia, terutama sekali bagi golongan B40.

“Kerajaan kini sedang berusaha untuk memastikan supaya penurunan CPI ini dapat dirasai dan dinikmati oleh seluruh pelosok masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kadar CPI itu adalah kadar yang terendah dalam tempoh hampir 10 tahun sekali gus membuktikan bahawa dasar kerajaan Pakatan Harapan khususnya memansuhkan Cukai Barang & Perkhidmatan (GST) danmenstabilkan harga minyak dilihat berjaya.

Guan Eng berkata, penurunan harga ini disebabkan oleh harga input yang lebih murah.

“Sebagai contoh, harga purata minyak petrol RON95 dalam Januari 2019 adalah kira-kira 13 peratus

lebih rendah berbanding Januari 2018.

“Ini mempunyai kesan positif ke atas harga barangan dan perkhidmatan yang tidak lagi dikenakan GST,” katanya.

Katanya, penurunan harga ini akan meningkatkan kuasa membeli rakyat dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Selain itu, Guan Eng berkata, ekonomi negara sedang bertumbuh dengan sihat dan kerajaan mengunjurkan KDNK 2019 akan terus berkembang sebanyak 4.9 peratus selepas ia tumbuh 4.7 peratus pada tahun lalu.

Katanya, kepastian, kejelasan dan konsistensi dasar kerajaan berjaya meningkatkan keyakinan peniaga, pasaran modal dan pelabur.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, pertumbuhan Malaysia yang lebih pesat berbanding jangkaan pasaran dan pertumbuhan ekonomi bertaraf A-/A3 meyakinkan agensi penarafan kredit antarabangsa untuk mengekalkan penarafan kredit Malaysia pada tahap tinggi A- atau A3.

Menurutnya, Fitch Ratings adalah agensi terbaharu yang mengesahkan penarafan kredit Malaysia pada tahap A- dengan tinjauan yang stabil.

“Pengesahan Fitch Ratings ini bukan sahaja berdasarkan kepada pertumbuhan ekonomi yang sihat tetapi juga berdasarkan kepada ketelusan usaha kerajaan melakukan reformasi fiskal untuk memerangi korupsi, konsolidasi fiskal yang berterusan serta imbangan akaun semasa Malaysia yang positif pada paras 2.3 peratus berbanding KDNK.

Disiarkan pada: February 24, 2019 @ 6:49pm
d