mutakhir

Berkebun dalam bandar

Oleh Badrul Kamal Zakaria

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan terus menggalakan konsep pertanian bandar kerana ia mampu memberi nilai tambah dan sumber pendapatan tambahan kepada pengusahanya.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya akan melancarkan program pertanian bandar supaya lebih banyak pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil bahagian dalam konsep pertanian untuk dilaksanakan di kawasan masing-masing.

“Kita ada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang boleh memberi khidmat nasihat dan konsultasi. Begitu juga dengan Jabatan Pertanian yang pada bila-bila masa akan menyokong usaha ini.

“Ini akan memberikan pelbagai faedah kepada rakyat di samping melestarikan alam sekitar serta menambah sumber pendapatan ekonomi dalam pertanian bandar,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Taman Ideal dan Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Daerah Muar di Surau An-Najah, Taman Sri Bakri III, Muar, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Mustaffa Kamal Shamsudin.

Salahuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram berkata, penggunaan teknologi fertigasi dilihat sangat berkesan dalam menjayakan program pertanian bandar kerana ia mampu dilaksanakan walaupun di kawasan terhad.

“Teknologi fertigasi ini sangat berkesan. Kita dapat menggunakan kawasan terhad, namun hasilnya boleh memberi nilai tambah dan pendapatan yang agak lumayan kepada pengusaha atau penggiatnya,” katanya.

Terdahulu, ketika bercakap mengenai program itu, beliau berkata, sudah tiba masanya masyarakat daerah itu menerapkan disiplin tinggi dalam aspek kebersihan.

Katanya, usaha dilaksanakan MPM sehingga Muar diiktiraf sebagai bandar bersih diharapkan menjadi pendidikan kepada masyarakat untuk turut serta menjadikan amalan penjagaan kebersihan sebagai satu budaya penduduk daerah itu.

Disiarkan pada: February 24, 2019 @ 9:25pm
d