mutakhir

Sekampung kenduri ikan sungai

Oleh Recqueal Raimi

KIRA-KIRA 600 kilogram pelbagai jenis ikan dituai penduduk Kampung Raganan, Kiulu, di sini, ketika aktiviti menangkap ikan di sungai yang dijaga menerusi sistem adat iaitu larangan penangkapan ikan sesuka hati dikenali sebagai bombon atau tagal, baru-baru ini.

Aktiviti dikenali sebagai ‘mongukab tagal’ dalam bahasa Dusun bermaksud membuka tagal itu diadakan setahun sekali membabitkan semua penduduk kampung dengan kebiasaannya dilakukan ketika musim kemarau berikutan paras air sungai lebih cetek.

Penduduk, Janius Ikat, 49, berkata acara diadakan sejak 1980-an itu umpama aktiviti ‘menyambut’ ketibaan musim kemarau dan ia sentiasa ditunggu penduduk kampung bagi melihat hasil sungai yang dipelihara selama setahun.

“Setiap kali aktiviti mongukab tagal diadakan, ia tidak pernah menghampakan penduduk kerana hasil diperoleh mencecah ratusan kilogram dan semuanya dibahagikan sama rata kepada setiap keluarga di kampung.

“Tahun ini saja, kira-kira 600 kilogram ikan berjaya dituai dan ia dibahagikan kepada 50 keluarga. Pelbagai jenis ikan ada seperti pelian (kelah) dan lampam, malah kali ini ada seekor sinsilog (belut sungai) seberat 6.4 kilogram berjaya ditangkap,” katanya ketika ditemui di Tuaran.

Katanya, aktiviti itu bukan semata-mata untuk menuai hasil sungai, malah ia juga adalah acara ‘balik kampung’ bagi penduduk yang tinggal di bandar untuk sama-sama memeriahkan suasana atau riadah bersama keluarga dan penduduk kampung.

“Kemeriahan menangkap ikan bukanlah kerana hasil tangkapan lumayan tetapi kerjasama semua penduduk menyebabkan acara ini meriah,” katanya.

Bombon atau tagal adalah amalan tradisi masyarakat Kadazandusun di Sabah untuk memelihara sungai daripada ancaman lampau tuai atau apa saja aktiviti yang merosakkan hidupan sungai.

Menerusi amalan ini, orang ramai tidak dibenarkan menangkap ikan sesuka hati di sungai dipelihara dan jika didapati melanggar peraturan, seseorang boleh disogit (denda) mengikut peruntukan sistem adat di sesuatu kampung.

Amalan itu dapat memastikan ikan dapat membiak tanpa gangguan untuk menjamin populasi ikan berterusan manakala aktiviti menangkap ikan hanya dibenarkan setahun sekali secara beramai-ramai berdasarkan persetujuan penduduk.

Disiarkan pada: February 24, 2019 @ 9:48pm
d