mutakhir

'Adik-beradik', tak boleh bernikah

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan dan Amir Mamat

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan parti itu tidak akan membentuk gabungan dengan UMNO, namun kekal bersatu memperjuangkan agenda yang sama.

Beliau berkata, ibarat 'adik-beradik' yang mempunyai ideologi berbeza, UMNO dan PAS tetap berjuang untuk membela dan mempertahankan Islam dan bangsa Melayu.

“Dalam Islam kita bersaudara. Apabila bersaudara, adik beradik, kita tidak boleh ‘bernikah’, yang penting kita ‘adik-beradik’ kena bersatu, walaupun berbeza pendapat.

“Jadikan setiap pertemuan (UMNO dan PAS), bagi mengembalikan semula kekuatan kita (Islam dan Melayu),” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana bertajuk ‘Islam Memimpin' anjuran bersama PAS dan UMNO Melaka, di Dewan Muallim Bukit Katil, Melaka, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamaruddin Sidek dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, turut kecewa apabila mengenangkan senario umat Islam dan Melayu dilihat berpecah disebabkan politik pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Lebih menyedihkan, apabila ada generasi muda yang kurang memahami sejarah negara dan tidak berpuas hati kepada UMNO dan PAS menyebabkan mereka tersalah pilih.

“Generasi muda pada ketika itu lebih banyak percaya kepada telefon bimbit (internet),” katanya.

Sementara itu, Annuar dalam ucapannya berkata, UMNO dan PAS akan terus berjuang mengikut pendekatan masing-masing tanpa mengabaikan matlamat.

“Kita (UMNO dan Pas) perlu bersatu semula, kita hilang kekuatan kerana berpecah-belah jadi mulai sekarang kita berjuang dengan cara masing-masing, tapi matlamat kita tetap satu,” katanya.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 1:06am
d