mutakhir

Belon udara panas ke Putrajaya [METROTV]

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

BELON udara panas berbentuk badut, sotong, robot dan gajah antara yang akan ditonjolkan pada penganjuran Fiesta Belon Udara Panas Putrajaya Kali ke-10 pada 28 hingga 31 Mac ini.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, lebih 20 belon udara panas akan diterbangkan oleh juruterbang antarabangsa dari 14 negara sepanjang penganjurannya.

Menurutnya, dengan adanya acara itu di Putrajaya, ia akan menjadi satu platform membuktikan wilayah berkenaan bukan saja sebagai pusat pentadbiran kerajaan persekutuan tetapi destinasi pelancongan.

“Ini kali pertama saya mengambil bahagian dalam acara ini, dan sudah tentu saya sangat teruja menantikan fiesta ini berlangsung. Saya juga amat mengalu-alukan pengunjung untuk bersama datang bersama keluarga.

“Pengunjung bukan saja dapat melihat belon udara panas yang dihiasi dengan pelbagai warna, tetapi keindahan di Putrajaya,” katanya dalam ucapan pelancaran Fiesta Belon Udara Panas Putrajaya Kali ke-10 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran Fiesta Belon Udara Panas Putrajaya juga satu daripada acara utama disenaraikan dalam Kalendar Acara Perbadanan Putrajaya 2019 dan menjadi acara tahunan di sini.

Antara negara yang menyertai acara berkenaan adalah dari Sepanyol, Slovakia, Brazil, Australia, Jepun, Belgium, Amerika Syarikat, United Kingdom, Korea Selatan dan Taiwan.

Tarikan terbaharu acara ini adalah penampilan belon Iglu yang direka menggunakan bahan kitar semula seperti belon udara panas terpakai yang membentuk struktur iglu dan bercahaya.

Belon berkenaan akan diletakkan di zon merah jambu tapak pelancaran belon udara panas di Presint 2, 7 petang hingga 10 malam.

Fiesta Belon Udara Panas Putrajaya juga akan mengembalikan acara ‘night glow’ iaitu belon udara panas akan dinyalakan secara serentak mengikut iringan muzik serta pertunjukan bunga api.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 2:12pm
d