mutakhir

'Itu MACC kata' - Tun M [METROTV]

Oleh Rafidah Mat Ruzki

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil masa untuk membuat siasatan terhadap dakwaan pemimpin PAS menerima duit sejumlah RM90 juta daripada UMNO.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kenyataan SPRM yang mengesahkan setakat ini tidak mengesan sebarang transaksi dana RM90 juta daripada 1MDB disalurkan ke akaun bank rasmi PAS, mungkin dibuat ekoran suruhanjaya itu belum mendapat maklumat sepenuhnya.

“Itu MACC (SPRM) kata. MACC mungkin belum mendapat maklumat sepenuhnya. Dia ambil masa.

“Setakat ini banyak lagi pencurian duit oleh Datuk Seri Najib yang MACC tidak punyai masa untuk selidik. Jadi ini tidak bermakna Datuk Seri Najib tidak curi.

“Cuma tidak diselidik lagi. Kita tunggulah adakah benar atau tidak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan loji pembuatan batang tembaga (copper rod) milik Metrod Holdings Berhad di Klang, hari ini.

Yang turut hadir, Pengasas Metrod, Apurv Bagri; Pengerusi Metrod Holdings Berhad, Datuk Abu Hassan Kendut dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Metrod Holdings Berhad, Rajan Mittal.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdull yang suruhanjaya itu setakat ini tidak mengesan sebarang transaksi dana RM90 juta daripada 1MDB disalurkan ke akaun bank rasmi PAS, akan memberi kesan kepada kempen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih ketika ini.

Ditanya mengenai kenyataannya semalam yang mengatakan beliau keliru dengan sokongan pemimpin PAS terhadapnya, Pengerusi BERSATU itu berkata, beliau tidak memerlukan sokongan ahli Parlimen PAS berikutan menerima sokongan ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

“Saya perlu sokongan wakil rakyat setakat 50 peratus lebih. Saya tidak perlu sokongan PAS kerana PH sendiri mempunyai lebih separuh kerusi dalam Dewan Rakyat.

“Sokongan itu kepada yang sudah menang bukan sokongan yang nak kalah tapi dia nak bagi menang, tak ada.

“Tapi kalau dia nak sokong, dia sokong lah, tapi tak usah lah cakap tandatangan guna surat nak sokong saya, tak sebut nak sokong PH tak sebut. Cuma nak sokong saya saja, tapi saya bukan kerajaan, kerajaan mestilah PH,” katanya.

Berita berkaitan:

Tiada kemasukan dana RM90 juta - SPRM

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 2:25pm
d