mutakhir

Lemas ketika cari barang kitar semula

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“DUA hari jiran tak melihat motosikalnya di rumah dan semuanya terjawab pagi ini,” kata Mohammad Safandi Abd Rahman, 36.

Dia adalah anak saudara Yusery Hashim, 51, yang ditemui lemas di pantai Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru malam tadi.

Mohammad Safandi berkata, dia mengetahui kejadian menimpa bapa saudaranya itu selepas dihubungi jiran Yusery di Taman Perling 10 pagi.

“Saya dimaklumkan anggota polis datang ke rumah pak cik dan meminta ahli keluarga datang ke bilik mayat HSA untuk pengecaman mayat lelaki yang ditemui lemas malam tadi.

“Saya terus ke bilik mayat sebelum mengesahkan identiti mayat itu adalah pak cik saya berdasarkan bentuk rupanya,” katanya ditemui di Jabatan Perubatan Forensik HSA hari ini.

Katanya, dia tidak menolak kejadian itu ketika bapa saudaranya itu sedang mencari barang kitar semula yang menjadi mata pencariannya.

“Hobinya bukan memancing atau menjaring ikan dan penemuannya juga sangat misteri.

“Mungkin kejadian berlaku ketika dia mencari barang kitar semula seperti kotak, tin dan botol di kawasan itu sebelum ditemui lemas,” katanya.

Katanya, jarang bapa saudaranya itu turun ke bandar sebaliknya hanya menaiki motosikal untuk menjual barangan kitar semula di kawasan Taman Perling.

Katanya, keluarga mereka juga terbaca kejadian orang lemas di laman sosial malam tadi namun tidak terfikir lelaki itu adalah ahli keluarganya.

Sementara itu, abang mangsa, Jamaludin Hashim, 55, berkata, kali terakhir bertemu adik bongsunya seminggu lalu.

“Dia (arwah) sering datang ke rumah tetapi ketika itu dilihat kelam kabut sebelum beredar dari rumah kami di Kampung Melayu Majidee di sini.

“Bahkan malam tadi saya berasa tidak sedap hati dan tidak dapat tidur dari jam 12 tengah malam hingga 4 pagi seperti sesuatu akan berlaku,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial mengenai kejadian individu dikhuatiri lemas dikongsi di beberapa laman sosial sejak malam tadi.

Lelaki berusia 50-an ditemui lemas oleh pemancing udang di kawasan pantai di hadapan HSA malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, mangsa, Yusery Hashim ditemui 9.50 malam kira-kira 0.6 meter dari pantai di hospital itu.

Katanya, petugas Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis (IPD) JBS menerima maklumat orang awam berkenaan satu kes mati lemas di hadapan HSA, 9.55 malam.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 2:47pm
d