mutakhir

Bapa didakwa dera anak

Oleh Nur Lela Zulkipli

PENGURUS akaun syarikat swasta didakwa di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan mendera anak kandungnya berusia empat tahun sehingga cedera di badan dan kaki awal tahun ini.

Tertuduh yang berusia 32 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Dr Gan Chee Keong.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan penderaan terhadap anak perempuan bongsunya sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian badan dan kaki kanak-kanak itu pada 3 Januari lalu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kediaman di Sentul dan didakwa mengikut Seksyen 3 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Akmal Anuar tidak menawarkan sebarang jaminan kerana khuatir keselamatan mangsa terancam dan masih menjadi mangsa dera berikutan tertuduh yang masih tinggal sebumbung dengan isteri dan semua anaknya.

“Memandangkan tertuduh masih tinggal sebumbung dengan mangsa, pihak pendakwaan tidak mahu anaknya menjadi tempat melepaskan tekanan.

“Malah, pihak pendakwaan percaya kejadian ini bukan kali pertama berikutan sudah ada kecederaan lama terhadap dua lagi anaknya sebelum ini,” katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam turut merayu supaya jaminan ditawarkan sebanyak RM10,000 berdasarkan kemampuannya atas alasan sudah berbaik dengan isteri serta boleh menjaga anak dengan baik.

“Saya sudah berbaik dengan isteri dan saya juga kini tinggal dengan anak.

“Anak pun saya yang jaga. Anak tidak mahu makan, jadi saya hukum untuk didik anak,” katanya.

Mahkamah kemudiannya tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 12 Mac ini.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 3:34pm
d