mutakhir

'Mi segera' rupanya rokok seludup

Oleh Garret Dawum

MISTERI dua kontena yang diisytihar mengandungi mi segera terbongkar selepas pemeriksaan kastam menemui rokok putih dengan nilai termasuk cukai RM8.67 juta di Pelabuhan Baram, Miri Jumaat lalu.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, kontena yang diimport dari Vietnam itu dibawa masuk menerusi Pelabuhan Bintulu dan dipindahkan untuk dibawa ke Miri.

“Pemeriksaan dua kontena itu menjumpai 71,750 karton rokok putih pelbagai jenama yang bersamaan 13.03 juta batang rokok.

“Selain itu, 2,036 kilogram mi segera turut dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi mengelirukan pihak berkuasa, dagangan diikrar sebagai mi segera menerusi manifest import.

“Pengimport juga menggunakan nama syarikat yang diragui kewujudannya dengan membawa masuk dagangan import,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sharifah Halimah berkata, orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dadah dan juga lain-lain barang larangan seperti rokok, minuman keras serta mercun.

“Orang ramai boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau talian terus Ibu Pejabat JKDM Sarawak 082-472133 atau mana-mana Pejabat Kastam berhampiran,” katanya.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 3:37pm
d