mutakhir

Wanita OKU maut didera

Oleh Faliq Lajim

WANITA orang kurang upaya (OKU) berusia 26 tahun meninggal dunia dipercayai didera abang iparnya di Taman Sentosa, Klang Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima aduan daripada suspek berusia 59 tahun yang memaklumkan mangsa meninggal dunia akibat sawan 2 petang.

Menurutnya, suspek bagaimanapun enggan membenarkan mangsa dibedah siasat oleh hospital bagi mengesahkan punca sebenar kematiannya.

“Suspek yang juga seorang mualaf mendakwa mangsa menghidap sawan selama tiga tahun dan tidak mahu polis menjalankan bedah siasat.

“Bagaimanapun, pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati terdapat kesan lebam dan bedah siasat kemudiannya dijalankan keesokan hari di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR),” katanya hari ini.

Shamsul Amar berkata, pihaknya juga menerima laporan polis daripada jiran suspek yang mendakwa mangsa sering didera.

Berikutan itu, beliau berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan suspek akan dituduh di Mahkamah Klang esok.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 3:56pm
d