mutakhir

'Alya Batrisah saham akhiratku'

Oleh Mary Victoria Dass

DALAM soal pengambilan anak angkat, kebanyakan pasangan memilih bayi dalam keadaan sempurna dan comel namun berbeza pasangan suami isteri ini yang sanggup menjadikan anak syurga sebagai anak angkat.

Suri rumah dari Pasir Gudang, Johor, Siti Hasmah Abdullah, 48, berkata, anak syurganya, Alya Batrisah, 10, adalah orang kurang upaya (OKU) fizikal sejak lahir.

Menurutnya, anak angkatnya dilahirkan dengan keadaan kaki kanan hanya pada paras lutut selain dia turut mengalami kecacatan pada jari kiri.

Katanya, kecacatan yang dialami Alya Batrisah bagaimanapun tidak membantutkan hasratnya untuk menjadikan kanak-kanak itu sebagai anak angkat 10 tahun lalu.

“Alya Batrisah lahir pada 2009 dan kali pertama kami lihat ketika dia berusia tiga hari dan ia berlaku selepas saya melihat paparan kisah suami isteri di Kuala Lumpur yang daif dan berhasrat menyerahkan anak bongsu baru dilahirkan.

“Ketika itu saya memang memiliki perancangan untuk mengambil anak angkat perempuan memandangkan sudah memiliki seorang anak lelaki kandung.

“Hasrat saya tidak pernah dihalang suami malah anak lelaki saya juga seronok dengan perancangan itu,” katanya.

Berkongsi berkaitan pertemuannya dengan ibu bapa Alya Batrisah, Siti Hasmah berkata, ia berlaku di Kuala Lumpur.

“Saya disambut baik pasangan itu dan dibawa masuk ke bilik bayi itu.

“Saya tidak dapat melupakan detik pertama kali melihat wajahnya yang sangat comel.

“Bagaimanapun tidak lama kemudian pasangan itu membuka bedung bayi dan berterus-terang berkaitan kecacatan dialami darah daging mereka itu.

“Mereka menjangka saya akan melupakan hasrat berkenaan namun saya menerima bayi itu seadanya,” katanya.

Menurutnya, dia berjaya menguruskan permohonan sijil lahir bayi itu sebelum membawa pulang ke Johor.

Dia juga bersyukur kerana bayi berkenaan tidak mudah sakit dan sentiasa dalam keadaan sihat.

“Ramai terutama saudara-mara tanya mengapa saya ambil risiko dengan menjadikan anak syurga sebagai anak angkat dan jawapan saya hanya satu, saya melakukannya demi Allah dan mungkin Allah sudah memilih saya sebagai ibu.

“Dia bukan saja menjadi saham akhirat saya malah juga penyeri dalam kehidupan rumah tangga kerana selepas kehadirannya jiwa saya lebih kental,” katanya.

Siti Asmah berkata, dia sentiasa memberi semangat kepada Alya Batrisah untuk membesar sebagai anak soleh serta berjaya dalam hidup.

Siti Asmah berkata, cabaran bagi membesarkan anak syurga juga tidak semudah disangka namun dia bersyukur kerana diberi ketabahan.

Menurutnya, Alya Batrisah ketika memulakan persekolahan di darjah satu kerap diperli dan dipulau rakan sekolah kerana kekurangannya malah dia juga pernah mengalami kecederaan di lutut selepas ditolak rakan.

Siti Asmah berkata, dia gembira kerana Alya Batrisah kerap memperolehi keputusan cemerlang dalam akademik.

“Dia bercita-cita menjadi pakar teknologi maklumat (IT) dan saya serta ahli keluarga sentiasa memberi sokongan.

“Saya berasa bertuah kerana dipilih Allah untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan akan melaksanakannya sebaik mungkin,” katanya.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 4:27pm
d