mutakhir

'Saya tak ugut'

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PEMBERI pinjaman wang tanpa lesen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas pertuduhan mengugut dan mengganggu peminjam serta ahli keluarga, Januari lalu.

Lelaki itu, K Gunaseelan, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim G Ramesh.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengganggu peminjam wang dengan membuat panggilan telefon berunsur ugutan sekiranya tidak membayar hutang akan menculik anak peminjam dan mencederakan peminjam serta ahli keluarga.

Perbuatan itu dilakukan ketika peminjam berada di sebuah rumah di Ladang Labu Bahagian B, Labu, Nilai, kira-kira 8 malam, 20 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29 B(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan denda minimum RM50,000 dan maksimum RM250,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan sebatan jika dilakukan buat kali kedua.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak manakala tertuduh diwakili peguam A Partheeban.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 4:44pm
d