mutakhir

Pelacur kerdil pun ada...

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

SEORANG wanita kerdil warga Vietnam yang terbabit kegiatan persundalan di sebuah rumah urut di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur, antara lapan individu ditahan pihak berkuasa, hari ini.

Wanita itu yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah bersama empat lagi rakan senegara serta tiga wanita tempatan ditahan dalam Operasi Banteras Aktiviti Haram (Ops BAH) 2.0 Siri 8, dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dalam serbuan di premis itu, pihak berkuasa turut menemui satu laluan rahsia menghubungkan pusat urut berkenaan dengan sebuah butik pakaian yang menjadi tempat tinggal pekerja seks berkenaan, termasuk untuk bersembunyi.

Pengarah Penguatkuasa DBKL, Azman Mahmood berkata, premis berkenaan pernah diserbu sebelum ini, namun dibuka semula dan menawarkan kegiatan tidak bermoral berkenaan.

Katanya, susulan itu, pihaknya mengambil langkah memecahkan dinding bilik, memotong bekalan air dan merampas beberapa peralatan seperti televisyen, pemain video, unit kamera litar tertutup (CCTV) dan peralatan seks.

“Kesemua wanita membabitkan lima warga Vietnam dan tiga wanita tempatan yang ditahan berusia antara 22 tahun hingga 30 tahun.

“Hasil siasatan, kita mendapati, kesemuanya menawarkan khidmat layanan seks kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi, hari ini.

Azman berkata, ia kali kedua premis itu diserbu dan tindakan drastik memecah dinding bilik, memotong bekalan air serta merampas peralatan dibuat bagi melumpuhkan operasi rumah urut yang menawarkan kegiatan tidak bermoral.

Katanya, pihak berkuasa turut menggempur tujuh lagi pusat urut di sekitar kawasan berkenaan dan mengambil langkah sama dengan memecah dinding serta merampas pelbagai peralatan di dalamnya.

“Seramai 132 anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) turut terbabit dalam operasi hari ini.

“Kesemua wanita berkenaan kita tahan bagi disiasat kerana terbabit kegiatan pelacuran selain tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah di negara ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 5:30pm
d