mutakhir

Mujur sempat keluar

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

“SELEPAS melihat api marak, saya terus memangku anak bongsu berusia empat tahun keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri,” kata Wan Hassan Wan Ahmad selepas rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Bagus, Rantau Panjang, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari tadi, Wan Hassan, 45, bersama anak bongsu daripada lima beradik itu sedang berehat di bilik mereka sebelum terhidu bau asap dan terkejut melihat salah satu bilik rumahnya sudah dipenuhi api yang sedang marak.

Katanya, dia keluar menyelamatkan diri dan meminta pertolongan, selain cuba memadamkan kebakaran menggunakan air namun tidak berjaya kerana api marak terlalu pantas.

“Bilik yang terbakar ini adalah bilik kosong yang dulunya menjadi bilik tidur arwah ibu saya, namun masih ada bantal dan tilam serta pakaian di dalamnya.

“Saya berlari keluar sehelai sepinggang menyelamatkan diri dan sempat mengalihkan motosikal di depan rumah ke tempat selamat. Semua dokumen penting lain tidak dapat diselamatkan.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana tiada nyawa yang terkorban. Empat anak saya yang lain berada di sekolah, manakala isteri saya, Nasa Che Ibrahim, 43, keluar bekerja,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Imran Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan jam 12.53 tengah hari dan mengambil masa tujuh minit untuk tiba ke tempat kejadian.

“Tujuh anggota bertugas memadamkan kebakaran rumah separuh kekal dan api dapat dikawal pada jam 1.28 tengah hari.

“Kebakaran menyebabkan rumah berkenaan musnah 70 peratus namun tiada nyawa terkorban.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati terutama ketika cuaca panas kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Punca kebakaran masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 6:25pm
d