mutakhir

Tangguh belajar demi keluarga

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

“SAYA bercita-cita mahu menghafaz al-Quran tapi saya tak kisah tangguh dulu keinginan itu.

“Saya faham keadaan keluarga kami ketika ini dan selepas semua urusan selesai saya akan mendaftar di Maahad Tahfiz,” kata Faris Aiman Ishak,16.

Faris Aiman sanggup mengorbankan keinginannya buat sementara waktu demi membantu bapanya Ishak Mat Saaid, 42, menjaga empat adiknya di rumah bagi membolehkan bapanya keluar bekerja.

Anak kedua daripada lapan beradik itu berbuat demikian berikutan ibunya, Rohana Mohd Nor, 40, menjaga seorang lagi adiknya, Muhamad Darwish Irfan, 7, yang kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh selepas disahkan mempunyai penyakit Acute Myeloid Leukemia (AML) awal bulan lalu.

Menurut Faris Aiman, selepas menamatkan pelajaran di tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di Kampung Gajah, dia mengambil keputusan memasuki Maahad Tahfiz di Teluk Intan bersama seorang lagi adik lelakinya berusia 13 tahun.

Katanya, keputusan itu juga diambil kerana tidak mahu mengganggu pelajaran kakak sulungnya, Nur Alia Natasha, 17, yang bersekolah asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Muzaffar Shah, Lambor Kanan, Bota dan akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

“Kami tak sangka Darwish diuji dengan penyakit ini dan sebab itu sebagai anak sulung lelaki saya sanggup berkorban apabila ayah minta bantu jaga adik-adik sementara ayah bekerja.

“Saya fikir biar saya yang bantu kerana ayah perlu kerja jika ayah tak kerja lagi susah dan saya juga tak mahu emak bimbang kerana dia perlu jaga Darwish di hospital,” katanya.

Faris Aiman ditemui di rumah sewa keluarganya di Desa Amanjaya Rimbunan Kasih Tanjung Tualang pada lawatan aktivis sosial, Rohaidatul Asma Jusoh yang menyampaikan sumbangan orang ramai, hari ini.

Menurut Faris Aiman, dia bangun 5.30 pagi untuk membantu bapanya menyiapkan tiga adiknya yang berusia 11 hingga lima tahun ke sekolah sebelum mengemas rumah dan menjaga adik bongsunya berusia setahun empat bulan.

“Sebelum ke tempat kerja ayah masak untuk kami dan kami berharap Darwish cepat sembuh,” katanya.

Sementara itu, Ishak berkata, anak keenamnya, Muhamad Darwish Irfan dikesan mempunyai penyakit berkenaan bulan lalu selepas kerap demam dan lemah sejak hujung tahun lalu.

Katanya, sejak anaknya dipindahkan ke HRPB, Ipoh dari Hospital Seri Manjung (HSM) dia berulang alik ke Ipoh dua hingga tiga kali sehari yang memerlukan perjalanan lebih sejam dari rumahnya.

“Darwish kini sudah menjalani dua sesi kimoterapi serta masih mempunyai beberapa sesi lagi dan dijangka dapat pulang ke rumah awal bulan depan.

“Darwish tak sempat memulakan pembelajaran tahun satu dan hanya mengikuti orientasi saja kerana dia perlu mendapatkan rawatan.

“Sejak isteri menjaga Darwish di hospital, Faris yang membantu saya menjaga adiknya yang lain di rumah dan saya sangat bersyukur dia sanggup membantu keluarga,” katanya.

Katanya, dengan pendapatan bersih RM1,200 sebulan sebagai pekerja ladang kehidupan mereka sekeluarga sederhana biarpun tidak mewah, namun perbelanjaan semakin meningkat apabila perlu berulang-alik ke Ipoh.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 6:41pm
d