mutakhir

SPR akan teruskan PRK Semenyih [METROTV]

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

SURUHANJAYA Pilihan Raya Malaysia (SPR) menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini berhubung saman pemula difailkan pengundi berdaftar di Semenyih terhadap suruhanjaya berkenaan.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata, sehubungan itu, SPR akan meneruskan Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih seperti mana yang sudah ditetapkan.

“SPR menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini yang memutuskan semua keputusan dibuat oleh SPR berhubung proses PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) N24 Semenyih adalah sah dan mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada serta menolak tuntutan saman yang dibuat seorang pengundi berdaftar di Semenyih terhadap SPR.

“Justeru, SPR akan meneruskan PRK Semenyih seperti mana yang sudah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan saman pengundi berdaftar di Semenyih terhadap SPR, pengerusinya dan Kerajaan Persekutuan, bagi menghalang suruhanjaya itu mengendalikan PRK DUN Semenyih.

Hakim S Komathy membuat keputusan itu di dalam kamar tanpa sebarang perintah mengenai kos terhadap plaintif.

Sebelum ini plaintif, Puan Sri Sabariah Mohd Shariff, 58, yang melalui proses PRK DUN Semenyih bermula 16 Februari lalu, memfailkan saman pemula terhadap Pengerusi SPR.

Saman yang difailkan secara dalam talian pada 18 Januari lalu oleh Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co itu turut menamakan SPR dan Kerajaan Persekutuan sebagai defendan.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 9:06pm
    d