mutakhir

Usah abai vaksin anak

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

SERAMAI 231 kanak-kanak tidak divaksin kerana keengganan ibu bapa di Terengganu tahun lalu, berbanding 191 kanak-kanak pada tahun sebelumnya.

Berdasarkan pemerhatian, punca utama kanak-kanak itu tidak menerima suntikan vaksin disebabkan beberapa faktor, antaranya kesangsian ibu bapa terhadap kesucian halal dan haram vaksin, selain tidak yakin dengan keberkesanan vaksin yang digunakan.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Mohd Jusoh, berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) tidak mempunyai hak memaksa ibu bapa mendapatkan vaksin untuk anak mereka tetapi pelbagai program pencerahan dan kempen kesedaran sentiasa dijalankan.

“Rekod yang dicatatkan itu hanya berpandukan bayi yang datang menjalani rutin pemeriksaan di klinik kesihatan, contohnya menimbang berat.

“Besar kemungkinan ada ramai yang tidak direkodkan menerima suntikan vaksin imunisasi kerana tidak datang ke klinik.

“Kerap kali diterangkan kepada mereka mengenai vaksin yang digunakan itu tidak perlu diragui mengenai tahap kesuciannya, malah halal digunakan. Oleh itu mereka tidak perlu berasa ragu-ragu dan memberi alasan.

“Kami hanya mampu menasihatkan ibu bapa supaya memberikan suntikan vaksin imunisasi kepada anak mereka sekali gus mencegah daripada dijangkiti pelbagai penyakit tertentu, termasuk difteria,” katanya ketika ditemui selepas Program ‘I Am and I Will’ Fit Together’ di Kuala Terengganu, hari ini.

Dr Mohd berkata, pihaknya berharap ibu bapa berfikir panjang dan tidak terpengaruh dengan pelbagai pendapatan yang salah mengenai suntikan vaksin imunisasi.

“Penting untuk mereka mendapatkan suntikan vaksin untuk anak bagi jangka masa panjang yang dapat melindungi anak mereka daripada penyakit berjangkit,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa tetap perlu memberikan suntikan vaksin imunisasi kepada anak mereka biarpun sehingga kini tiada rekod kanak-kanak di negeri ini diserang penyakit akibat tidak menerima vaksin seperti kes difteria di negeri lain.

“Jangan tunggu sehingga anak dijangkiti penyakit dahulu baru ingin memberi vaksin anak kerana ia sudah terlambat dan mendatangkan risiko keselamatan anak sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 9:13pm
d