mutakhir

Perang duri landak!

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

AMBIL masa hampir sejam bagi menangkap seekor landak sesat yang ditemui merayau di jalan berhampiran Presint 5, Putrajaya pagi tadi.

Landak dewasa dianggarkan seberat hampir 10 kilogram itu sukar ditangkap berikutan bertindak agresif selain menggunakan durinya bagi mengelak dipegang sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Putrajaya yang mahu menyelamatkannya.

Pegawai Bencana Operasi APM Putrajaya Leftenan Mohamad Asnizam Tukimam berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan awam berhubung kehadiran haiwan liar itu pada jam 8.50 pagi.

Menurutnya, seramai empat anggota APM dihantar ke lokasi kejadian bagi menangkap landak yang dipercayai tersesat memasuki kawasan jalan.

“Namun usaha menangkap binatang liar itu berdepan kesukaran berikutan landak itu bertindak agresif mempertahankan dirinya.

“Susulan itu anggota APM terpaksa menggunakan kaedah menutup haiwan itu menggunakan kain tebal sebelum

landak itu berjaya dimasukkan ke dalam sangkar khas,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati landak berkenaan mengalami kecederaan pada kaki.

Katanya, landak itu kemudian diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Wilayah Persekutuan untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 9:57pm
d