mutakhir

Tok Batin wanita gigih tabur bakti

Oleh BERNAMA

TUGAS sebagai ketua kampung bukan perkara mudah, namun bagi Uni Sudah, 40, satu-satunya Tok Batin wanita Orang Asli tidak melihatnya satu masalah baginya menabur bakti kepada penduduk kampung.

Bermula dengan dipilih sebagai setiausaha di kampungnya, Kampung Kachau Dalam, Semenyih ketika berusia 20-an, Uni, diberi kepercayaan sebagai ketua kampung berkenaan sejak lima tahun lalu.

“Sudah lebih lima tahun saya menjadi ketua kampung (Tok Batin) dan gembira dapat membantu penduduk kampung ini yang sudah dianggap sebagai keluarga.

“Kebanyakan aduan seperti masalah kad pengenalan dan dokumentasi sekolah bagi anak penduduk kampung saya cuba selesaikan dan setakat ini, hampir semua masalah sudah diselesaikan,” kata ibu kepada tiga anak ini kepada Bernama, hari ini.

Kampung Kachau Dalam, yang didiami 42 keluarga itu adalah antara 10 kampung Orang Asli di Semenyih.

Kampung lain ialah Kampung Sungai Lui, Kampung Broga, Kampung Kachau Luar, Kampung Sungai Lalang, Kampung Donglai Baru, Kampung Sungai Congkak, Kampung Kuala Pangson, Kampung Sungai Gabai dan Kampung Genting Peras.

Uni berkata, pelbagai karenah penduduk terpaksa dihadapi namun berkat kesabaran dalam memikul amanah sebagai pemimpin di kawasan itu sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk membantu mereka.

“Kebiasaannya, jika tidak begitu banyak aduan, saya sendiri akan bertanya dari rumah ke rumah dengan menaiki motosikal sama ada mereka memerlukan bantuan dan dengan cara itu, saya boleh tahu masalah mereka dari semasa ke semasa,” kata wanita dari suku kaum Temuan itu.

Menjadi satu-satunya Tok Batin wanita di daerah Hulu Langat, Uni sedikit pun tidak kekok malah sentiasa bekerjasama dengan ketua kampung lain sekiranya ada aktiviti melibatkan komuniti Orang Asli di Hulu Langat seperti menganjurkan program kebudayaan dan seumpama.

“Kami (Tok Batin) juga adalah sesama saudara dan sekiranya ada aktiviti kemasyarakatan, biasanya kami akan gabungkan dan raikan bersama-sama,” kata Uni yang suaminya adalah Tok Batin Kampung Broga dari suku kaum yang sama.

Katanya lagi, rata-rata sumber pendapatan penduduk kampung di sini adalah hasil jualan daun pisang, hasil hutan, getah dan ada juga menjual produk kraftangan.

“Disebabkan harga getah yang murah, aktiviti menoreh getah di sini terpaksa diperlahankan dan digantikan dengan jualan daun-daun pisang.

“Sumber makanan kami pula seperti ikan dari kolam ikan (bekas lombong bijih timah), hasil kebun sayur-sayuran dan buah-buahan seperti durian dan jambu, semuanya ada di sini,” katanya.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 9:59pm
d