mutakhir

Menangis mengaku salah dera anak

Oleh Mohd Sabran Md Sani

SUAMI isteri dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, selepas mengaku salah mendera anak lelaki mereka berusia 12 tahun hingga mengalami kecederaan fizikal dalam kejadian di Pangsapuri Desa Melayu, sejak tahun lalu hingga 18 Februari lalu.

Hakim Kamarudin Kamsun turut memerintahkan kedua-dua tertuduh Muhammad Farid Rosli, 29, dan Yuliani Chosibah, 38, melaksanakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dan melaksanakan khidmat masyarakat 48 jam.

Sebagai tambahan, jika kedua-dua mereka gagal melaksanakan semua hukuman berkenaan, hukuman penjara setahun menanti mereka selepas selesai menjalani hukuman pertama bermula dari tarikh tangkap pada 19 Februari lalu.

Keputusan itu dibuat Kamarudin selepas mendengar rayuan peringanan hukuman pasangan berkenaan, selain mengimbangi faktor pemberatan hukuman berdasarkan hujahan pihak pendakwaan.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak lelaki, menganiaya dan membiarkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan perbuatan itu di Pangsapuri Desa, Jalan Bayu Putri 2, dari tahun 2017 hingga 18 Februari.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara yang boleh sampai 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi’uddin.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang berpakaian warna merah diiringi polis mahkamah untuk mendengar kertas pertuduhan mendera anak lelaki mereka berusia 12 tahun.

Pasangan itu bagaimanapun membuat pengakuan salah sejurus kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan.

Dia juga mengaku terhadap 14 keping gambar kecederaan dialami mangsa, selain mengaku melakukan perbuatan itu menggunakan penyangkut baju berwarna hijau dan rotan.

Kedua-dua mereka yang menangis di kandang tertuduh hanya memohon dikurangkan denda, selain masih mempunyai tanggungan keluarga termasuk mahu menjaga kanak-kanak terbabit selepas ini.

Suhaila menerusi faktor pemberatan hukuman bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat mengambil kira faktor kepentingan awam, selain hukuman terkandung di bawah akta terbabit.

“Di dalam kes ini mangsa dianiaya secara fizikal dan emosi dengan tidak diberikan pendidikan formal kepada mangsa dan dianiaya sejak dari tahun 2017 ketika berusia 10 tahun.

“Di awal usia 10 tahun mangsa sepatutnya diberikan perhatian penuh, ditatang dengan minyak yang penuh, dicurahkan kasih sayang, namun berlaku sebaliknya.

“Orang yang sepatutnya menjadi pemelihara yang diberikan amanah oleh Tuhan untuk menjaga insan yang tidak berdosa ini menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa,” katanya.

Beliau berkata, perbuatan tertuduh memberikan impak yang besar pada kehidupan kanak-kanak itu hingga menimbulkan ketakutan dan trauma dengan apa berlaku kepadanya.

“Lebih menyayat hati mangsa yang tidak berdosa ini apabila diperlakukan tanpa belas kasihan. Tergamak tertuduh memperlakukan mangsa sedemikian rupa,” katanya.

Katanya, hukuman berat patut dikenakan ke atas tertuduh supaya dapat menghindarkan orang lain yang berhasrat atau cuba berjinak-jinak untuk melakukan kesalahan sama.

Harian Metro sebelum ini melaporkan bukan sahaja didera ibu dan bapa tirinya sejak dua tahun lalu, kanak-kanak lelaki yang diselamatkan polis di Pangsapuri Desa Melayu, Taman Bayu Puteri, Johor Bahru, didapati tiada MyKid kerana kelahirannya tidak pernah didaftarkan.

Keadaan itu menyebabkan kanak-kanak berusia 12 tahun itu tidak pernah bersekolah dan tinggal di rumah bersama dua adik tirinya, perempuan berusia 3 tahun dan lelaki berusia setahun.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, perkara itu terbongkar hasil pengakuan pasangan suami isteri yang ditahan polis.

Berita berkaitan:

  • 2 tahun didera ibu, bapa tiri
  • Disiarkan pada: February 26, 2019 @ 11:41am
    d