mutakhir

Dah terima laporan bedah siasat kedua

Oleh Hasbi Sidek

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sudah menerima laporan penuh bedah siasat kali kedua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Allahyarham Nazrin Hassan minggu lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, laporan berkenaan sudah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara untuk rujukan dan tindakan lanjut pada 22 Februari lalu.

“Pihak (Kontinjen) Selangor sudah kemukakan kertas siasatan bedah siasat kedua kepada Timbalan Pendakwaraya.

“Kertas siasatan dihantar pada 22 Februari lalu,” katanya ketika sidang media sejurus majlis Peringatan Ulang Tahun Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Ke-63 di Padang Kawad PSP Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya sama ada PDRM membuat sebarang tangkapan terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kejadian pada 14 Jun tahun lalu itu, Mohamad Fuzi berkata, tiada keperluan untuk melakukan tindakan itu.

“Tangkapan tiada keperluan. Tunggu arahan Timbalan Pendakwaraya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya sudah menerima laporan bedah siasat kedua minggu lalu.

Disember lalu, Harian Metro melaporkan laporan penuh bedah siasat kali kedua CEO Cradle Fund mengambil masa lama berikutan ia bergantung kepada doktor yang menyiapkan laporan berkenaan.

Nazrin meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya pada 14 Jun lalu. Allahyarham dikatakan maut akibat kebakaran selepas telefon bimbit dalam biliknya meletup.

Dua bulan kemudian, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh selepas siasatan bomba mendapati ada kesan petrol di tempat kejadian.

Polis kemudian menyoal siasat anggota keluarganya, termasuk menahan reman isteri dan dua anak tirinya.

Pada 8 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan kubur Allahyarham digali semula supaya bedah siasat kedua dapat dijalankan bagi mencari bukti baharu berhubung kematiannya.

Jenazah Allahyarham Nazrin digali semula untuk proses bedah siasat kali kedua di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Seksyen 6 Kota Damansara pada 15 Oktober lalu.

Disiarkan pada: February 26, 2019 @ 1:57pm
d