mutakhir

Peragut gempal di Lebuhraya Link Kedua

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

DALAM tempoh kira-kira dua jam, sembilan kejadian ragut dilaporkan berlaku di sekitar Lebuhraya Link Kedua dekat Iskandar Puteri, semalam, membabitkan sembilan penunggang motosikal yang mahu keluar bekerja di Singapura atau pulang dari republik itu.

Kejadian antara jam 5.50 hingga 7.15 pagi itu dipercayai berlaku ke atas penunggang motosikal yang melalui pintu masuk ke Singapura.

Semua mangsa yang berusia antara 24 hingga 36 tahun itu mengalami kerugian antara RM1,000 hingga RM2,500 apabila barangan berharga mereka dibawa lari penjenayah.

Antara barangan mangsa yang diragut ialah kad pengenalan, cukai jalan motosikal, telefon bimbit, lesen memandu, kad ATM bank, kad kredit, wang tunai, pasport, permit kerja Singapura, kunci rumah dan kunci pendua motosikal.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, modus operandi dilakukan suspek dalam kes terbabit adalah sama.

“Mangsa ketika menunggang motosikal di kawasan sekitar lebuh raya itu didatangi sebuah motosikal berkuasa tinggi berwarna merah dengan nombor pendaftaran yang tidak dapat dipastikan oleh mangsa.

“Mangsa mendakwa motosikal itu dinaiki seorang lelaki berbadan gempal dan bercermin mata yang secara pantas menarik beg sama ada dipakai di badan atau diletak di raga motosikal sebelum melarikan diri,” katanya.

Katanya, seorang mangsa juga cedera ringan ketika mengejar suspek namun gagal.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan mengesan suspek.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, Seksyen 395 dan Seksyen 394 kanun sama,” katanya.

Disiarkan pada: February 26, 2019 @ 3:38pm
d