mutakhir

Sultan Perak terima anugerah Darjah Kerabat Johor

Oleh Mohd Sabran Md Sani

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menganugerahkan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DK1) kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Penganugerahan itu dikongsi di laman rasmi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dengan tajuk ‘Sultan Perak Terima Anugerah Darjah Kerabat Johor.

“Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menganugerahkan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (D.K. 1) kepada DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

“Berangkat sama pada majlis yang berlangsung di Istana Perak, Kuala Lumpur pada hari ini ialah Yang Amat Mulia (YAM) Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim,” titah disampaikan menerusi FB hari ini.

DYMM Sultan Nazrin Shah, 62, dimasyhurkan sebagai Sultan Perak ke-35 pada 2014.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut sebelum diikuti majlis penganugerahan D.K. 1 oleh Sultan Ibrahim.

Selepas selesai majlis penganugerahan, Baginda berdua berangkat ke majlis santapan sebelum diikuti sesi bergambar.

Hadir sama dalam Istiadat Penganugerahan D.K 1 itu termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian; Yang Dipertua Majlis Jumaah DiRaja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.

Antara pemimpin Perak yang hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin.

Disiarkan pada: February 26, 2019 @ 6:04pm
d