mutakhir

Klinik jual MC diarah tutup

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

KOTOR, jual sijil cuti sakit (MC) dan beri ubat tamat tempoh. Tiga kesalahan besar itu cukup untuk membuatkan klinik di Johor Bahru diarah tutup serta-merta.

Selepas diberi amaran dalam tempoh enam bulan pemantauan sejak tahun lalu, hari ini perintah penutupan premis dan notis tunjuk sebab oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diserahkan kepada pengendali klinik berkenaan.

Klinik yang beroperasi dengan seorang doktor dan dua pembantu klinik sejak 1975 itu diberi tempoh 21 hari berkuat kuasa hari ini untuk berhenti daripada beroperasi bertujuan menambah baik dan mematuhi arahan.

Ketika penyerahan notis oleh lima pegawai dari Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) di klinik berkenaan, ia masih beroperasi dengan masih terdapat pesakit yang hadir menunggu giliran bertemu doktor.

Difahamkan, kebanyakan pesakit masih ke klinik berkenaan kerana mahu membeli MC yang dijual antara RM10 hingga RM20 mengikut hari.

Tindakan pemantauan dibuat JKNJ selepas menerima aduan daripada pesakit yang pernah mengunjungi klinik ini serta majikan yang sering menerima MC daripada pekerja mereka yang diperoleh di klinik terbabit.

Keadaan klinik terbabit dilihat begitu kotor dan tidak terurus dengan tandas kotor tidak mempunyai sumber air, kurang bekalan elektrik, pengurusan ubat yang tidak teratur selain kelengkapan perubatan yang usang.

Selain meja doktor yang bersepah, ubat-ubatan juga dilihat sudah tamat tempoh serta jarum suntikan yang sudah digunakan tidak dibuang dengan cara yang betul.

Antara kesalahan lain dilakukan klinik berkenaan adalah tidak mempamerkan salinan perakuan pendaftaran klinik perubatan swasta, gagal mematuhi aspek keselamatan dan kualiti penjagaan pesakit, mengeluarkan MC secara berleluasa dan tidak mempamerkan carta organisasi.

Selain itu, pengendali klinik tidak menyimpan atau menyenggara suatu daftar kehadiran, rujukan dan kematian pesakit termasuk rekod kesihatan pesakit, tidak menyediakan peralatan kecemasan asas dan gagal mematuhi cara pelupusan ubat yang luput.

Semua kesalahan itu melanggar Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan Peraturan-peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Klinik Perubatan Swasta atau Klinik Pergigian Swasta) 2006.

Perintah penutupan premis mengikut subseksyen 52(2) akta itu boleh disambung 14 hari lagi sekiranya pengendali klinik masih gagal mematuhi arahan penambahbaikan yang dinyatakan selepas tempoh 21 hari terbabit.

Sementara itu, Pengarah JKNJ, Dr Selahudeen Abd Aziz ketika dihubungi mengesahkan penutupan klinik terbabit.

“Benar, selepas pemantauan dibuat dan terdapat kesalahan yang dikesan, hari ini, sebuah klinik diberikan notis penutupan premis serta-merta selama tempoh 21 hari bermula hari ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 26, 2019 @ 6:15pm
d