mutakhir

Stor sekolah terbakar

Oleh Zuliaty Zulkiffli

STOR yang menyimpan peralatan kebun di Sekolah Kebangsaan Ayer Putih, Pendang musnah dalam kebakaran hari ini.

Ketika kejadian, terdapat murid di sekolah berkenaan namun kebakaran itu tidak mengakibatkan kecederaan dan kemalangan jiwa berikutan stor itu jauh dari kelas di sekolah itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Ezzat Emran Ezani berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3 petang dan sepasukan anggotanya bergegas ke lokasi dan tiba empat minit kemudian.

Beliau berkata, operasi bermula jam 3.05 petang disertai sepasukan anggota bersama sebuah jentera.

“Operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pendang, Tanah Merah, Padang Lembu dan Simpang Empat.

“Api berjaya dikawal dari merebak ke kawasan lain dan kebakaran membabitkan kemusnahan 60 peratus barangan dan stor berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Ezzat Emran berkata, operasi tamat jam 4.38 petang dan punca serta kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: February 26, 2019 @ 8:08pm
d