mutakhir

'Syukur...alhamdulillah'

Oleh Hamzah Osman

DUA nelayan pukat tunda berhadapan detik cemas apabila bot dinaiki mereka karam di perairan Pulau Enggang, Langkawi semalam.

Dalam kejadian jam 10.45 malam itu, mangsa, Husain Saidin, 44, dan menantunya dikenali Din berusia 30-an diselamatkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi.

Pegawai Pemerintah Polis Marin Langkawi, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, kedua-dua mangsa ditemui berpaut pada bot yang sudah karam jam 11.30 malam.

“Terdahulu, tiga anggota PPM yang melakukan rondaan Ops Gelora Bilangan 11/2019 menerima maklumat berkaitan sebuah bot pukat tunda kelas B1 dilaporkan karam di perairan Pulau Enggang.

“Sejurus itu, bot ronda RH9 dikejarkan ke lokasi sebelum menemui kedua-dua mangsa berpaut pada bot,” katanya hari ini.

Rohizan berkata, sejurus diselamatkan dua nelayan terbabit dibawa ke pangkalan PPM Wilayah Satu di Bukit Malut untuk tindakan lanjut.

“Tekong dan awak-awak dari Kuala Kedah itu tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi masih trauma kesan kejadian yang tidak diduga.

“Keluarga kedua-dua mangsa juga sudah dihubungi dan mangsa dihantar pulang hari ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 26, 2019 @ 8:37pm
d