mutakhir

Tangisan ibu padam ketagihan

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

TANGISAN dan rayuan ibu yang memintanya dibebaskan selepas ditangkap polis mendorong lelaki tekad berhenti daripada bergelumang dengan dadah.

Dia yang mahu dikenali Fahmi, 27, mengakui terjerumus dengan penagihan dadah selepas termakan ajakan rakannya selain perasaan ingin mencuba sehingga terjebak dengan penyalahgunaan dadah methamphetamine pada penghujung tahun 2016.

“Selepas lebih dua tahun terjerumus dengan dadah, saya ditangkap polis pada April 2017 ketika sedang tidur dan ibu juga terkejut kerana baru mengetahui saya adalah penagih dadah.

“Ketika saya dibawa keluar dari rumah, ibu merayu-rayu sambil menangis meminta supaya tidak dibawa pergi.

“Saya sedih melihat keadaan ibu dan sejak itu bertekad untuk berubah dan tidak mahu mengecewakannya lagi,” katanya ketika ditemui selepas Program NGO’s Bangkit Perangi Dadah di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera, di Kota Bharu, semalam.

Anak sulung daripada enam beradik ini berkata, dia sedar sudah melakukan kesilapan besar di dalam hidupnya, namun itu dijadikan sempadan untuknya supaya lebih berhati-hati apabila memilih rakan.

Sementara itu, seorang lagi lelaki yang ingin dikenali Reds, 40, berkata, dia mula terjebak dengan dadah sebaik menjejakkan kaki ke universiti untuk fokus ketika mengulang kaji pelajaran ketika berusia 18 tahun.

“Selepas lebih 20 tahun terbabit dengan penagihan dadah, pada tahun lalu saya ditahan pihak berkuasa ketika berada bersama rakan.

“Selepas ditangkap, saya menjalani rawatan pemulihan dan menjadi Orang Kena Pengawasan (OKP) selama dua tahun yang dipantau Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kelantan.

“Saya ingin nasihatkan remaja di luar sana supaya jangan mudah terpengaruh dengan perkara perbuatan yang akan memusnahkan diri sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 8:23am
d