mutakhir

PPM tahan lelaki Indonesia

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan lelaki warga Indonesia selepas didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah di perairan Pulau Berhala, di Sandakan, semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, suspek berusia 41 tahun ditahan ketika bersendirian memukat ikan menggunakan bot jongkong di perairan berkenaan.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, bot ronda dari PPM Sandakan yang menjalankan Op Pensura kemudiannya memeriksa bot dinaiki lelaki terbabit.

“Sebaik diperiksa, lelaki itu mengemukakan pasport yang sudah tamat tempoh sebelum dia ditahan untuk tindakan lanjut.

“Barangan suspek iaitu bot jongkong, enjin sangkut jenis Yamaha 15 kuasa kuda dan pukat hanyut dianggarkan bernilai RM11,980 turut dirampas dan di bawa ke Markas PPM Sandakan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 9:37am
d