mutakhir

Padah proses 'kad matrik' PATI

Oleh Abdul Rahemang Taiming

POLIS menahan lelaki disyaki menjalankan kegiatan memproses ‘kad matrik’ bagi warga asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di rumah di Kampung Sentosa dekat Tawau, malam tadi.

Serbuan kira-kira jam 11 malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota ‘Strike Team’ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau diketuai Inspektor Muis Mursalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata suspek warga tempatan berumur 43 tahun itu disyaki terbabit dalam pengurusan dan penyediaan kad matrik dikenali Union Malaya Borneo Corporation (UMBCO) bagi warga asing yang menetap di Sabah.

Katanya, pemilik kad itu kononnya mempunyai beberapa keistimewaan antaranya tidak akan ditangkap oleh pihak berkuasa seperti polis, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri.

“Setiap permohonan dikenakan bayaran RM50 untuk seorang dan pemohon hanya perlu memberi nama dan apa juga jenis pengenalan diri kepada suspek untuk mendapatkan satu kad matrik UMBCO.

“Pemohon akan memperoleh kad itu dalam tempoh tiga hari waktu bekerja sementara suspek memproses pengeluaran kad terbabit di mana-mana kedai alat tulis di sekitar daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan di Tawau, hari ini.

Fadil berkata, siasatan lanjut mendapati suspek telah menjalankan kegiatan itu hampir sebulan dan bergerak sendirian, selain tidak mempunyai syarikat berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

Katanya, suspek juga tidak mempunyai sebarang kebenaran bertulis sama ada dari Kementerian Dalam Negeri (KDN), polis JPN dan Jabatan Imigresen untuk menjalankan kegiatan memproses kad matrik UMBCOberkenaan.

“Dalam serbuan itu, turut dirampas beberapa keping fail, wang tunai berjumlah RM606, telefon bimbit, tiga cop pelbagai nama dan lima keping borang permohonan.

“Perintah reman terhadap supek akan dimohon hari ini sementara siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Kesiksaan kerana cubaan menipu,” katanya

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 1:22pm
d