mutakhir

Duda, janda tokan dadah [METROTV]

Oleh Mohd Hilmie Hussin

DUDA dan janda yang berdua-duaan dalam sebuah rumah di Kampung Ramuan China Kechil, Alor Gajah, semalam ditahan polis apabila didapati memiliki dadah dipercayai heroin.

Pasangan yang tiada pertalian itu dicekup di ruang tamu rumah terbabit, selepas polis menerima maklumat awam berkaitan kegiatan pengedaran dadah, sekitar Lubok China, sejak akhir tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, dua suspek terbabit ditahan sekitar 12 tengah malam hingga 1.15 pagi dalam satu serbuan diketuai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (JSJN) negeri.

“Suspek yang ditahan adalah seorang lelaki berstatus duda anak lima berusia 53 tahun dan seorang wanita bergelar janda anak tiga berusia 34 tahun,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam rumah terbabit, polis menjumpai sepaket dadah dipercayai heroin seberat kira-kira 392 gram yang disimpan dalam kotak air mineral berwarna coklat.

Menurutnya, dadah terbabit dianggarkan bernilai RM5,500 mengikut harga pasaran.

“Dalam serbuan ini, kedua-dua suspek memberi kerjasama. Hasil siasatan awal, kita percayai kedua-duanya bergiat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak kira-kira 10 tahun lalu, namun kembali aktif sejak Oktober tahun lalu, selepas menjalani hukuman,” katanya.

Beliau berkata, suspek lelaki mempunyai tiga rekod lampau manakala wanita satu rekod lampau berkaitan dadah.

Asmadi berkata, kedua-dua suspek dipercayai mengedar dadah untuk pasaran Lubok China dan perkampungan sekitar, selain mendapat bekalan daripada seorang lelaki digelar Ah Chuah yang menghantar bekalan ke Ramuan China.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula semalam sehingga 4 Mac ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 2:03pm
d