mutakhir

Suspek curi cincin berlian lari ke Vietnam

Oleh Shahrinnahar

POLIS percaya suspek yang melarikan cincin berlian bernilai RM2.89 juta, dari sebuah kedai emas di Genting Highlands, Ahad lalu sudah melarikan diri ke luar negara pada hari sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata siasatan lanjut mendapati suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu sudah melarikan diri ke Vietnam.

“Selepas polis meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memang jelas menunjukkan suspek menukar cincin berlian tulen kepada yang palsu ketika melihat barang kemas itu.

“Ketika kejadian, terdapat tiga pekerja dan tiga pelanggan sedang melihat barang kemas. Kita percaya suspek sudah melarikan ke Vietnam sejurus kejadian itu,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, berdasarkan keterangan daripada pekerja kedai emas berkenaan juga mendapati suspek pernah datang ke situ sebulan yang lalu untuk melihat cincin yang sama.

“Kita juga percaya suspek membuat perancangan teliti untuk menukarkan cincin tulen kepada yang palsu. Bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan lanjut sama ada terdapat individu lain yang terbabit.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Media semalam melaporkan, sebuah kedai emas di Genting Highlands terpaksa menanggung kerugian RM2.89 juta selepas cincin berlian yang dijual di kedai berkenaan ditukar dengan sebentuk cincin berlian palsu oleh seorang lelaki yang kononnya mahu membeli barang kemas berkenaan, kelmarin.

Dalam kejadian 12.50 tengah hari itu, suspek dipercayai warga China ke kedai emas berkenaan kononnya untuk membeli barang kemas.

Suspek kemudian meminta seorang jurujual berusia 45 tahun untuk mengeluarkan sebentuk cincin berlian seberat lima karat sebelum menukar kepada yang palsu.

Berita berkaitan:

  • Tukar berlian palsu, peniaga rugi RM2.89 juta
  • Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 2:18pm
    d