mutakhir

Pencuri sarang burung cedera ditembak

Oleh Harun Yahya

CUBAAN seorang pencuri sarang burung walit menyerang pemilik bangunan yang diceroboh itu menggunakan tukul mengundang padah apabila dia cedera ditembak semalam.

Berikutan kejadian kira-kira 5 pagi di Sungai Apong, Lebaan, Sibu itu, suspek berada dalam keadaan kritikal selepas kehilangan banyak darah akibat kecederaan di kaki.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, sebelum kejadian itu, pemilik rumah sarang burung terbabit menerima panggilan telefon daripada adiknya yang memaklumkan penggera berbunyi dipercayai akibat diceroboh.

Beliau berkata, pemilik rumah sarang burung itu kemudiannya bergegas ke di lokasi dan tiga suspek lelaki yang menyedari kehadirannya cuba melarikan diri.

“Pemilik sarang burung itu bersama adiknya kemudian cuba mengesan di kawasan semak berdekatan dan menjumpai seorang suspek. Suspek itu kemudiannya cuba menyerang pemilik sarang burung dengan tukul.

“Pemilik sarang burung itu bertindak melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri dan tembakan itu terkena kaki kiri suspek,” katanya.

Beliau berkata, suspek berusia 30 tahun itu kemudiannya ditahan polis yang tiba di lokasi kejadian dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Stanley berkata, seorang lagi suspek berjaya ditahan kira-kira 100 meter dari lokasi suspek pertama ditembak, bagaimanapun seorang lagi melarikan diri.

Difahamkan, sebelum ini rumah sarang burung itu pernah empat kali diceroboh pencuri.

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 2:30pm
d