mutakhir

Tersepit dalam kemalangan

Oleh Nur Saliawati Salberi

PEMANDU kenderaan utiliti sukan (SUV) cedera selepas kereta dinaikinya bertembung dengan lori pembancuh simen di Taman Kota Laksamana Utama, Melaka hari ini.

Kejadian jam 2 pagi itu menyaksikan pemandu SUV Honda HRV, Chan Chee Chung, 40, tersepit sebelum dibawa keluar dengan bantuan bomba dan orang awam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kemalangan yang berlaku di persimpangan lampu isyarat itu mengakibatkan SUV terbabit remuk di bahagian pemandu.

Beliau berkata, sebelum kemalangan SUV itu dalam perjalanan dari arah Klebang menghala ke Jalan Syed Abdul Aziz manakala lori dipandu lelaki berusia 46 tahun itu pula dari arah Pulau Melaka ke tapak bancuhan simen di Taman Kota Laksamana Utama.

“Akibat kemalangan itu pemandu SUV mengalami kecederaan muka, tangan serta kaki dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

“Kedua-dua pemandu sudah diambil sampel darah bagi tujuan ujian alkohol dan dadah untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, SUV dan lori berkenaan juga sudah dibawa pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk dihantar ke PUSPAKOM selain kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 3:00pm
d