mutakhir

Rafizi bebas tuduhan siar tohmahan Tabung Haji

Oleh Murni Wan Omar

NAIB Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, daripada pertuduhan menyiarkan artikel mengandungi tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) di akaun Facebook miliknya, tiga tahun lalu.

Majistret Umzarul An-Nur Umar membuat keputusan itu selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Zulkefli bahawa Jabatan Peguam Negara sudah menerima representasi yang dikemukakan oleh Rafizi.

Nadia berkata, Jabatan Peguam Negara sudah menerima representasi Rafizi pada 24 Januari lalu.

Oleh itu katanya, pihak pendakwaan mendapat arahan untuk tidak meneruskan kes terhadap Rafizi, 42.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk Rafizi membela diri daripada pertuduhan itu.

Rafizi diwakili peguam Md Yunos Shariff dan Adi Zulkarnain Zulkafli.

Pada 25 September tahun lalu, Rafizi diperintah membela diri atas pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Beliau dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyiarkan artikel bertajuk ‘Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015’ dalam akaun Facebook Rafizi Ramli bertarikh 9 Februari 2016, yang mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji yang boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak di sini, pada jam 9 pagi, 8 Februari 2016.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 3:23pm
d