mutakhir

Bukan kes culik boh [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

POLIS menafikan dua lelaki yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero Wagon ditahan di tepi jalan besar dekat Kampung Mak Sara, Jertih semalam terbabit dengan kes penculikan pelajar sekolah.

Sebaliknya, salah seorang daripada dua lelaki yang ditahan kira-kira 6.30 petang itu sebenarnya ingin mencari adik perempuannya berusia 16 tahun yang belajar di Kolej Vokasional Besut (KVB).

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan, Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, polis menerima maklumat kehadiran kenderaan mencurigakan disyaki mahu menculik pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Petra Jaya, Setiu menghala dari Setiu ke Besut.

Beliau berkata, susulan maklumat itu anggota unit kereta peronda (MPV) berjaya mengesan Mitsubishi Pajero Wagon berkenaan di Kampung Mak Sara.

“Hasil siasatan lelaki berusia 24 tahun dari Kuala Berang, Hulu Terengganu dan bekerja sebagai buruh kontrak itu hanya mahu menghantar wang saku kepada adik perempuannya.

“Bagaimanapun, dia yang ditemani rakannya berusia 40 tahun yang memandu kenderaan pacuan empat roda itu pergi SK Putera Jaya, Setiu kerana tidak tahu di mana sekolah terbaharu adiknya.

“Difahamkan, mereka sudah lama tidak berhubung menyebabkan lelaki terbabit tidak mempunyai maklumat adiknya yang memasuki KVB dua bulan lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Zamri berkata, hasil siasatan mendapati tiada kes penculikan berlaku dan pemeriksaan di dalam kenderaan dinaiki dua lelaki terbabit juga tidak menemui barang-barang yang menyalahi undang-undang.

Katanya, lelaki terbabit hanya tahu lokasi sebenar sekolah adiknya kira-kira jam 7.30 malam selepas menerima pesanan ringkas daripada remaja perempuan terbabit.

“Bagaimanapun, mereka yang positif dadah jenis methamphetamine ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 4:22pm
d