mutakhir

Farid Kamil ditegur Majistret

Oleh Nur Lela Zulkipli

MAHKAMAH Sesyen, Petaling Jaya, hari ini, mengingatkan Datuk Farid Kamil Zahari, 38, supaya lebih peka dengan tarikh perbicaraan ditetapkan membabitkan pertuduhan jenayah dan narkotik yang dihadapinya.

Majistret Nor Ariffin Hisham menegur pelakon dan pengarah terkenal itu selepas dia hadir lewat ke mahkamah pada perbicaraan kes urinnya, hari ini.

Ketika ditanya Nor Ariffin mengapa dia tiba lewat pagi hari ini, Farid memberitahu mahkamah bahawa dia dimaklumkan agak lewat dari pihak peguamnya yang sedang menjalani cuti sakit berhubung perbicaraan yang sepatutnya berlangsung pada hari ini.

“Saya minta maaf kerana terlewat hari ini,” kata Farid Kamil ringkas.

Nor Ariffin yang mendengar permohonan maaf itu kemudian mengingatkan Farid Kamil bahawa kehadirannya adalah wajib, walaupun peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakilinya masih berada dalam cuti sakit.

“Kamu tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada peguam. Ini adalah kali kedua kejadian (kelewatan) sebegini berlaku, oleh sebab itu saya tetap minta kamu datang hari ini, walaupun lewat.

“Walaupun peguam tidak dapat hadir tetapi kehadiran tertuduh adalah wajib pada setiap tarikh perbicaraan melainkan ada alasan munasabah seperti cuti sakit atau sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Megat Syazlee yang mewakili Farid Kamil turut memohon maaf atas kelewatan pihaknya dan memohon tarikh perbicaraan hari ini dilapangkan kerana beliau masih berada dalam cuti sakit.

“Cuti saya saya berkemungkinan akan dilanjutkan berikutan kecederaan yang dialami masih belum sembuh selepas menjalani pembedahan bulan lalu.

“Sekiranya terdapat perubahan (mengenai cuti sakit), saya akan memaklumkan kepada pihak mahkamah lebih awal,” kata Megat Syazlee yang hadir ke mahkamah dengan keadaan tangan bersimen.

Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran, bagaimanapun, tidak membantah permohonan peguam itu dan mengesahkan menerima sijil cuti sakit itu, semalam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 13 hingga 15 Mac dan 20 serta 21 Mac depan sebagai tarikh perbicaraan baru.

Pada 16 Januari tahun lalu, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Sementara 25 Januari berikutnya, Farid Kamil turut didakwa menggunakan dadah THC, yang juga dadah terdapat pada ganja di Pejabat Narkotik, IPD Petaling Jaya jam 4.30 petang, tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 6:37pm
d