mutakhir

[UPDATE] Amy Keju diburu polis

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SELEPAS memberkas dua ahli geng samun bersenjatakan parang yang menaiki motosikal jenis 125Z, Polis Selangor kini mengesan saki-baki ahli kumpulan itu termasuk ketua mereka dikenali Amy Keju.

Amy berusia lewat 20-an dipercayai turut terbabit dalam kejadian samun ke atas restoran di Hulu Klang, Ampang, pada Mei 2017 dan melarikan wang tunai dari van keselamatan di Bukit Antarabangsa pada September tahun sama.

Pada masa sama, video dan gambar ahli kumpulan itu membawa beg berisi wang tunai yang disamun ketika menunggang motosikal di Lebuhraya DUKE, tular di media sosial.

Tidak lama selepas itu, beberapa ahli geng berkenaan menyembunyikan diri berikutan ahlinya diberkas polis sebelum mereka kembali ‘aktif’ melakukan jenayah samun bermotosikal 21 Februari lalu.

Video rakaman Amy Keju dan rakan sejenayahnya melakukan samun di perkarangan kawasan rumah yang sunyi di sekitar daerah Serdang, Klang Utara dan Kuala Langat turut tersebar dalam laman sosial.

Berikutan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Selangor kemudian menjalankan gerakan memburu suspek berdasarkan maklumat perisikan yang dimiliki.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kejayaan pertama bermula selepas polis memberkas salah seorang suspek geng samun 125Z itu di Teluk Panglima Garang, Banting, Isnin lalu.

“Suspek kemudian direman lima hari bermula Isnin lalu dan hasil soal siasat ke atasnya, polis memberkas seorang lagi lelaki di Batu Caves, Gombak, sehari kemudian.

“Suspek yang berusia awal 30-an kemudian ditahan reman hari ini dan usaha memburu saki-baki suspek giat dilakukan termasuk ketua kumpulan mereka,” katanya.

Fadzil bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada beberapa siri kejadian samun bermotosikal oleh ‘Geng 125Z’ itu diketuai oleh Amy Keju.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut dan tidak dapat mengesahkan pembabitan Amy dalam siri kejadian samun hadapan rumah seperti yang tular dalam laman sosial sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, tular dalam laman sosial sekumpulan enam hingga lapan suspek lelaki bersenjatakan parang dan bergerak dengan menaiki empat motosikal mencari sasaran rumah di kawasan sunyi sebelum melakukan jenayah samun sejak 21 Februari lalu.

Berita berkaitan

[UPDATE] Polis giat buru penjenayah bermotosikal

Warga emas jadi mangsa penjenayah bermotosikal

Nyaris ditetak penyamun [METROTV]

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 8:12pm
d