mutakhir

PAS bayar RM1.4j kepada Clare - Anwar

Oleh Hairulazim Mahmud dan Rezanizam Abdul Hamid

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa memiliki dokumen transaksi bayaran RM1.4 juta daripada PAS kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown untuk menyelesaikan kes saman fitnah di luar mahkamah.

“Saya Anwar Ibrahim, saya tidak akan cakap jika tiada bukti.

“Saya ada fakta, memang ada bukti Ustaz (Datuk Seri Abdul) Hadi (Awang) bayar RM1.4 juta kepada Clare.

“Kalau PAS nak cabar boleh dakwa saya di mahkamah,” katanya semasa berceramah di Semenyih Sentral di Hulu Langat, malam tadi.

Anwar berkata, apa yang Clare kata ialah PAS menerima wang daripada UMNO bukan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya ada dokumen transaksi bank itu. Buat masa ini saya tidak mahu tunjuk lagi bukti itu,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar meminta PAS menutup mulut kerana mendakwa tidak membuat sebarang bayaran kepada Clare.

“Sudah-sudahlah PAS. Apa yang anda kata itu tidak betul. Kutip duit ahli PAS kata tak bayar, tak betul. Jika anda cabar, saya sedia tunjukkan bukti terbabit,” katanya.

PAS semalam menegaskan tiada sebarang bayaran dibuat kepada Clare bagi tujuan penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah difailkan Abdul Hadi berhubung dakwaan penerimaan RM90 juta daripada UMNO.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, berdasarkan Perintah Persetujuan (Consent Order) yang direkodkan di hadapan Clare di Mahkamah Tinggi London pada 1 Februari lalu, selain kedua-dua pihak bersetuju tidak meneruskan tuntutan dan tuntutan balas masing-masing, mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos kepada mana-mana pihak.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Disiarkan pada: February 28, 2019 @ 12:10am
    d