mutakhir

Senang cari kereta

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KUALA LUMPUR: Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini memperkenalkan pelekat yang dilekatkan di lokasi kenderaan ditunda bagi kesalahan lalu lintas untuk mengurangkan jumlah kenderaan ‘disimpan’ di depoh simpanan kenderaan mereka.

Pengarahnya, Azman Mahmood berkata, inisiatif itu diambil selepas pihaknya menerima banyak rungutan daripada orang awam yang panik selepas kenderaan mereka dikatakan ‘hilang’ tetapi sebenarnya ditunda pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Katanya, sebelum ini, orang awam terpaksa berdepan dengan proses rumit iaitu membuat laporan kepada pihak polis bagi mengetahui kedudukan kenderaan yang mengambil masa beberapa jam sebelum mengetahui kenderaan mereka ditunda.

“Berikutan itu, kami mengambil inisiatif dengan memperkenalkan pelekat disertakan makluman bahawa kenderaan yang melakukan kesalahan lalu lintas itu ditunda pihak DBKL yang dilekatkan di lokasi kenderaan berkenaan diparkir.

“Pada pelekat itu turut disertakan maklumat seperti nombor pendaftaran kenderaan ditunda, masa ditunda dan nombor telefon untuk dihubungi oleh pemilik kenderaan bagi proses mendapatkan semula kenderaan mereka,” katanya.

Azman berkata, sejak dilancarkan Isnin 18 Februari lalu hingga 22 Februari, 54 kenderaan ditunda atas kesalahan meletak kenderaan di garisan kuning serta menghalang lalu lintas menguna pakai sistem pelekat berkenaan.

“Setakat 23 Februari lalu, 170 kenderaan ditunda menggunakan sistem pelekat ini. Daripada jumlah itu, 120 kenderaan dituntut sebaik pemiliknya menyedari kenderaan mereka ditunda apabila terlihat pelekat terbabit, manakala 50 pemilik kenderaan lain menyedari perkara itu melalui kaedah lain.

“Walaupun baru saja diperkenalkan namun kegunaan pelekat ini mendapat reaksi positif pemilik kenderaan kerana mereka berjaya mengesan kedudukan kenderaan dalam tempoh 30 minit saja berbanding beberapa jam sebelum ini,” katanya.

Katanya, dalam proses menuntut semula kenderaan, pemilik dikehendaki membawa pelekat terbabit bagi memudahkan urusan selain mengelakkan timbul isu kebersihan terhadap pelekat yang diletakkan di lokasi berkenaan.

“Prosedur operasi standard (SOP) menunda kenderaan menggunakan sistem pelekat ini sama seperti sebelum ini, cuma ia ditambah baik dengan menampal pelekat berkenaan selepas meletakkan maklumat diperlukan.

“Anggota bertugas akan mengambil gambar pelekat berkenaan yang diletakkan di lokasi mudah dilihat sebelum kenderaan terbabit dibawa ke Depoh Simpanan Kenderaan Sentul untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2019 @ 5:30am
d