mutakhir

Kes cincin berlian: Ahli perniagaan ditahan

Oleh Shahrinnahar Latib

POLIS menahan ahli perniagaan bagi membantu siasatan berhubung kes cincin berlian bernilai RM2.89 juta milik kedai emas di Genting Highlands yang ditukar dengan cincin palsu oleh lelaki warga asing, Ahad lalu.

Lelaki berusia 46 tahun berasal dari Kuching, Sarawak ditahan di Jalan Anuar, Bentong pada 4.30 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, lelaki itu yang menetap di Kuala Lumpur adalah pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah yang dinaiki dua warga asing yang juga suspek utama kes berkenaan.

“Berdasarkan siasatan, lelaki terbabit mengakui mengenali dua warga asing berkenaan kerana mereka sudah beberapa kali menggunakan khidmat sewaan kenderaan mewah yang disediakan lelaki itu untuk ke Genting Highlands dari Kuala Lumpur.

“Suspek juga mengaku, dia menghantar dua lelaki warga asing itu dari hotel di Kuala Lumpur ke Genting Highlands, Ahad lalu.

“Dia juga mendakwa hanya menunggu di parkir hotel dan tidak mengetahui urusan dua penumpang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, di Kuantan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, selepas beberapa jam, dua lelaki berkenaan kembali dan meminta ahli perniagaan itu menghantar mereka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Pada 24 Februari lalu, suspek bersama dua lelaki warga asing berkenaan ke Ho Chi Minh, Vietnam menaiki penerbangan AirAsia dan ketika di sana mereka menginap di hotel yang sama.

“Suspek kembali ke Malaysia, Selasa lalu sebelum ditahan dan kita turut merampas telefon bimbitnya untuk membantu siasatan. Keterangannya apabila ditanya berkaitan dua warga asing berkenaan agak meragukan dan tidak terperinci.

“Polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek dari Mahkamah Majistret Bentong hari ini untuk siasat lanjut,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kedai emas di Genting Highlands terpaksa menanggung kerugian RM2.89 juta selepas cincin berlian yang dijual di kedai berkenaan ditukar dengan cincin berlian palsu oleh lelaki warga asing yang kononnya mahu membeli barang kemas berkenaan, kelmarin.

Dalam kejadian 12.50 tengah hari itu, suspek datang ke kedai emas berkenaan kononnya untuk membeli barang kemas di situ.

Suspek kemudian meminta jurujual berusia 45 tahun untuk mengeluarkan cincin berlian seberat lima karat sebelum menukar kepada yang palsu.

Berita berkaitan:

  • Tukar berlian palsu, peniaga rugi RM2.89 juta
  • Suspek curi cincin berlian lari ke Vietnam
  • Disiarkan pada: February 28, 2019 @ 10:17am
    d