mutakhir

Disengat 175 lebah

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

BERPANTANG maut sebelum ajal. Itu yang dihadapi wanita warga emas yang terselamat selepas disengat 175 lebah di Kampung Guchil, Kuala Krai, semalam.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu mangsa, Hasmah Mamat, 78, bengkak di muka, mata, kepala dan tangan.

Mangsa yang terkejut dengan kehadiran lebah sempat berlari 20 meter untuk menyelamatkan diri.

Anak tunggal mangsa, Mohd Rizal Yusoff, 40, berkata, ketika kejadian ibunya sedang menyapu di bahagian hadapan rumah.

Katanya, ibu mengalami rabun dan dia menyangka ratusan lebah warna hitam yang berada di lampu kalimantang di luar rumah itu adalah sarang labah-labah.

“Sebaik dia menyapu lampu itu, lebah berkenaan terus menyerang ibu di bahagian muka, kepala dan tangan.

“Ibu terus berlari ke rumah sepupunya yang terletak kira-kira 20 meter untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Rizal berkata, sepupu ibu, Azizah Ali, 70, bersama anaknya menghantar ibu ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk rawatan lanjut.

Katanya, ketika kejadian dia yang bekerja sebagai pemandu pelancong berada di Gunung Stong, Dabong mendapat panggilan daripada sepupu berhubung kejadian yang menimpa ibu kemudian bergegas ke hospital.

“Saya bersyukur kerana ibu selamat dan keadaannya stabil serta boleh bercakap,” katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2019 @ 12:43pm
d