mutakhir

Didakwa sebabkan kematian suspek tikam jiran

Oleh Muhammad Apendy Issahak

TUKANG masak didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian di Jalan Theatre, Ipoh, 2 Februari lalu.

Tertuduh, Liew Wai Keong, 46, didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian lelaki yang juga suspek tikam jiran dengan melakukan perbuatan cuai yang tidak terjumlah kepada kesalahan mematikan orang.

Lelaki terbabit dituduh melakukan kesalahan itu di tangga hingga ke kaki lima bangunan Qiong Hai Association, pada 11 pagi hingga 12 tengah hari.

Wai Keong bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurul Hafizah Mohammad Pauzi.

Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar manakala tertuduh diwakili peguam Datin K Shamini.

Pihak pendakwaan kemudian mencadangkan mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Nurul Qistini turut meminta satu tarikh sebutan semula bagi menunggu laporan kimia dan bedah siasat mangsa bagi kes terbabit

Tertuduh bagaimanapun meminta jaminan yang rendah kerana hanya bekerja sebagai tukang masak dengan gaji kira-kira RM1,000 sebulan selain ia adalah kesalahan pertamanya.

Shamini berkata, anak guamannya juga anak lelaki tunggal yang menyara ibunya, turut berjanji akan memberi kerjasama sepenuhnya serta tidak akan gagal hadir ke mahkamah.

Nurul Hafizah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan lelaki menikam jiran bilik sewanya sehingga mati di Jalan Theatre, di Ipoh, 2 Februari lalu, selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.

Bagaimanapun, seorang wanita cuba meleraikan pergaduhan itu, namun dia dicekik suspek menyebabkan anak lelakinya mengambil pisau pemotong daging dan menetak suspek.

Akibat kejadian itu, suspek berusia lingkungan 30an meninggal dunia pada 12.55 tengah hari selepas 14 hari menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), 16 Februari lalu.

Berita berkaitan

Suspek tikam jiran meninggal dunia

Suspek masih dirawat di ICU

[UPDATE] Lelaki tikam jiran masih di hospital

Gaduh: Mangsa maut ditikam sudu? [METROTV]

Disiarkan pada: February 28, 2019 @ 12:45pm
d