mutakhir

NOTAM dikeluarkan elak ruang udara Pakistan

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

KEMENTERIAN Pengangkutan sudah mengeluarkan Notis Kepada Juruterbang (NOTAM) bagi semua syarikat penerbangan di negara ini supaya mengelak menggunakan ruang udara Pakistan susulan penutupannya, semalam.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, itu adalah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diamalkan selepas berlakunya tragedi MH17.

“Memang selepas berlakunya insiden MH17, yang mana jika membabitkan kawasan yang ada konflik pesawat kita akan mengelak menggunakan laluan konflik itu.

“Saya difahamkan NOTAM sudah dikeluarkan dan memang perlu untuk semua pesawat kita mengelakkan ruang udara yang terbabit untuk keselamatan penumpang.

“Sudah tentu semua syarikat penerbangan kita akan mematuhi notis yang dikeluarkan itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) Semakan Sekolah Rendah peringkat kebangsaan di Putrajaya, hari ini.

Semalam, pihak berkuasa penerbangan awam Pakistan menutup ruang udaranya untuk semua pesawat komersial berikutan ketegangan dengan India.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAA) dalam akaun Twitter semalam menyatakan secara rasmi penutupan ruang udara Pakistan sehingga notis lanjut manakala jurucakap tentera Pakistan menjelaskan keputusan itu berikutan keadaan situasi semasa.

Sementara India turut menutup lapangan terbangnya.

Disiarkan pada: February 28, 2019 @ 1:31pm
d