mutakhir

Tunjuklah bukti transaksi RM1.4 juta - Takiyuddin [METROTV]

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

“KITA ada semua dokumen yang berkaitan. Kita akan jawab balik berdasarkan dokumen yang kita akan tunjuk,” kata Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan memiliki dokumen transaksi bayaran RM1.4 juta daripada PAS kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown untuk menyelesaikan kes saman fitnah di luar mahkamah.

Takiyuddin berkata, dokumen berkaitan itu akan ditunjukkan menerusi satu sidang media diadakan dalam masa terdekat sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

“Saya akan buat satu sidang media tetapi bukan hari ini. Kita akan berikan semuanya kepada anda, kita ada semua dokumen berkaitan.

“Kita percaya dokumen akan menunjukkan dengan lebih jelas berbanding kata-kata. Saya adalah peguam, saya akan tunjukkan kepada anda berdasarkan bukti, bukannya seperti beliau (merujuk Anwar),” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, hari ini.

Semalam, Anwar mendakwa memiliki dokumen transaksi bayaran RM1.4 juta daripada PAS kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown untuk menyelesaikan kes saman fitnah di luar mahkamah.

Beliau mendakwa mempunyai dokumen transaksi bank itu dan buat masa ini tidak mahu menunjukkan lagi bukti berkenaan.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, Anwar perlu menunjukkan penyata bank berkenaan kepada umum.

“Beliau kena tunjuklah. Saya sudah beritahu sebelum ini, penyata bank PAS Pusat iaitu sejak Januari 2015 hingga Disember 2018 dan semua akaun sudah diberikan kepada SPRM.

“Sebab itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM mengeluarkan kesimpulan beliau tidak menjumpai apa-apa duit dalam akaun PAS sebanyak RM90 juta,” katanya.

Berhubung kehadirannya di SPRM, beliau berkata, ia bagi memberikan kerjasama kepada suruhanjaya berkenaan untuk melengkapkan siasatan.

“Itu antara sebab saya datang sini kerana nama saya antara disebut dalam kenyataan pembelaan Clare. Saya ingat ada dalam 10 dan saya satu daripadanya.

“Saya datang beri kenyataan kepada SPRM mengenai tuduhan dibuat kononnya saya ada banyak kereta mewah dengan nombor khas daripada duit dibayar RM90 juta,” katanya.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, beliau tidak menyerahkan sebarang dokumen kepada SPRM pada hari ini.

Terdahulu, beliau hadir 9.20 pagi memberikan keterangan di SPRM dan dilihat keluar jam 2 petang.

Pada 24 Februari lalu, SPRM mengesahkan siasatan pihaknya setakat ini tidak menemui sebarang kemasukan wang RM90 juta yang didakwa daripada 1MDB ke dalam akaun PAS.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull; bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkembangan siasatan kes berkenaan.

Pada 8 Februari lalu, bekas Timbalan Presiden PAS Datuk Dr Nasharudin Mat Isa hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi memberi keterangan berhubung dakwaan beberapa pemimpin PAS menerima wang RM90 juta disyaki daripada 1MDB.

Pengarang Sarawak Report dalam artikelnya yang diterbitkan portal berkenaan, sebelum ini mendakwa ada pemimpin tertinggi PAS mungkin menerima RM90 juta untuk mendorong parti itu bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Isu terbabit timbul semula apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1 Februari lalu membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle Brown berhubung artikel mengandungi tuduhan berkenaan.

Berita berkaitan

PAS bayar RM1.4j kepada Clare - Anwar

PAS bayar Clare?

Disiarkan pada: February 28, 2019 @ 4:28pm
d